
KUALA TERENGGANU: Peniaga ayam di bandar ini merungut kerana menjadi mangsa cekik darah pemborong sehingga hanya memperoleh untung 10 sen bagi sekilogram selepas Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dikuatkuasakan.
Perkara itu didedahkan oleh EXCO Keusahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, hari ini.
Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengenal pasti beberapa pemborong yang bertindak begitu.
Katanya, tindakan pemborong itu yang menjual ayam melebihi harga ditetapkan kepada peniaga runcit adalah satu penganiayaan.
- Peniaga ayam yang terawal dikompaun RM2,500
- 7 peniaga dikompaun naikkan harga barang kawalan
- Padah kerana tamak, peniaga kena kompaun
- Harga ayam standard catat penurunan
Katanya, peniaga merungut hanya memperoleh keuntungan 10 sen bagi setiap kilogram (kg) ayam standard selepas kerajaan menguatkuasakan SHMMP.
“Peniaga mengadu pemborong menjual ayam kepada mereka dengan harga RM7.80 sen satu kg sedangkan harga borong ditetapkan adalah RM7.10 kg.
“Peniaga pula menghadapi keperitan apabila terpaksa menjual harga ayam RM7.90 satu kg sebagai mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan dan mereka hanya memperolehi keuntungan 10 sen setiap kg,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan pematuhan SHMMP, di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, hari ini.