
KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri berhubung kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga yang beroperasi lebih masa, Ahad lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata menerusi perbincangan itu, Jabatan Kesihatan memaklumkan, pihak kementerian akan mempertimbang kadar kompaun membabitkan tiga peniaga berkenaan sebagaimana dalam garis panduan.
Katanya, bagi kes lain yang dikenakan kompaun membabitkan individu dan premis, mereka dinasihatkan membuat rayuan untuk mendapatkan kadar pengurangan kompaun mengikut garis yang ditetapkan.
“Pada perbincangan yang berlangsung semalam, pihak polis akan mengambil tindakan mengikut garis panduan penetapan nilai tawaran kompaun yang ditetapkan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan peraturan di bawahnya.
- Kompaun mesti ikut garis panduan
- COVID-19: Kompaun ikut 3 kategori kesalahan bawah Akta 342
- KKM minta peniaga burger kemuka rayuan segera
- ‘Alhamdulillah ramai yang mahu bantu kami’ – Peniaga burger
“Kementerian Kesihatan (KKM) pula mempunyai bidang kuasa untuk menawarkan kadar pengurangan kompaun sebagaimana garis panduan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Justeru, Shafien mengingatkan penduduk di Kelantan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menghentikan rantaian COVID-19.https://a0b2191d30d8e2fbd4f58374a5111968.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html
Media sebelum ini melaporkan, tiga peniaga dikenakan kompaun RM50,000 pada Ahad lalu kerana menjalankan operasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di Pengkalan Chepa.
Mereka membabitkan peniaga burger, colek dan kedai runcit yang dikenakan kompaun antara jam 11.10 hingga jam 11.40 malam.
Sehingga semalam, dua peniaga sudah membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah untuk mendapatkan pengurangan kompaun.