Covid-19Malaysia

COVID-19: Kes positif di daerah Besut catat peningkatan mendadak 835 peratus

Pengarah Kesihatan negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata pada Mac, hanya 60 kes positif COVID-19 sahaja direkodkan, namun jumlah itu naik mendadak kepada 561 kes pada April dan Mei. – BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Situasi COVID-19 di daerah Besut semakin membimbangkan, dengan peningkatan 835 peratus kes positif direkodkan dalam tempoh kurang dua bulan sejak April lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata pada Mac, hanya 60 kes positif COVID-19 sahaja direkodkan, namun jumlah itu naik mendadak kepada 561 kes pada April dan Mei.

“Dalam tempoh bermula 1 April hingga 8 Mei, kita telah melakukan sebanyak 9,936 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 662 kes positif telah dikesan. Situasi COVID-19 di Besut sangat merisaukan kita dengan puluhan kes positif dilaporkan setiap hari.

“Data ini jelas menunjukkan penularan jangkitan dalam komuniti sangat tinggi, dan kita risau apabila sudah menular jauh, maka sukar untuk kita hambat virus COVID-19,” katanya dalam satu catatan di akaun Facebooknya pada Isnin.

Hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan pertambahan 166 kes discaj dan 93 kes baharu COVID-19 menjadikan 579 kes COVID-19 aktif di Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 4,941 kes.

Daripada 93 kes baharu itu, 43 kes dilaporkan berlaku di daerah Besut.Ketika ini, 570 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala sembilan kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah dan empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Nor Azimi berkata petugas kesihatan sangat serius dan komited membuat pengesanan kontak, saringan, pengasingan serta memberi rawatan dan pihaknya berharap agar penduduk Besut juga memberi kerjasama dengan membuat kawalan kendiri.

“Hadkan pergerakan, elak berkumpul beramai-ramai, patuh prosedur operasi standard (SOP), duduk rumah di samping menjaga diri dan orang lain, jika semua perkara ini diberi perhatian maka segala usaha dalam memutuskan rantaian wabak di Besut akan berjaya.

“Selain itu, individu yang mempunyai gejala demam, batuk, selsema, sakit tekak serta hilang deria bau dan rasa perlu segera membuat pemeriksaan kerana langkah ini sangat membantu mengawal penularan yang lebih besar,” katanya.– BERNAMA

Source
Astro Awani
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close