Covid-19MalaysiaSetempat

Tidak perlu panik, barang keperluan cukup bagi kawasan PKPD

ORANG ramai membeli barangan keperluan harian sebelum pelaksanaan PKPD ketika tinjauan di sebuah pasaraya di Ipoh semalam. FOTO BERNAMA

Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memberi jaminan bekalan barangan keperluan di empat mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri itu adalah mencukupi.

Sehubungan itu, KPDNHEP Perak menasihati orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat pembelian panik selama tempoh berkenaan yang berkuat kuasa hari ini hingga 4 Jun.

“Bekalan barang keperluan dijamin mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

“Premis peruncitan seperti pasar awam, pasar raya, kedai runcit, restoran, gerai makanan dan lain-lain masih dibenarkan beroperasi mengikut waktu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata KPDNHEP Perak dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai turut dinasihati hanya keluar sekiranya terdapat keperluan untuk membeli barangan keperluan, mengelakkan pembelian berlebihan serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pengguna juga disaran menggunakan aplikasi dalam talian untuk membeli barang keperluan dan makanan ketika tempoh PKPD ini,” kata kementerian itu.

Empat mukim yang dikenakan PKPD itu ialah Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta dan Hulu Bernam Timur.

Source
Harian metro
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close