Semua rakyat dapat vaksin sebelum akhir tahun ini- PM

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan mencapai 80 peratus daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia yang akan menerima suntikan sama ada lengkap dua dos atau satu dos akhir tahun ini.
Perdana Menteri berkata, beliau telah memberi arahan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba agar mempercepatkan bekalan vaksin sampai ke negara ini.
Katanya, sebelum akhir tahun ini semua rakyat akan mendapat vaksin tidak kira Pfizer, Sinovac, Astrazeneca atau apa jenis sekalipun yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
“Sebaik sasaran sampai 80 peratus dan ketika itu ekonomi negara sudah meningkat dengan sebahagian besar sudah disuntik, maka situasi pandemik Covid-19 akan bertambah baik.
“Mulanya kita jangkakan selesai tahun depan, tetapi melihat kepada situasi terkini, kita menetapkan mungkin akhir tahun inin sudah boleh capai penuh, semua dapat suntikan.
“Sekarang sudah hampir satu juta orang mendapat suntukan dua dos,” katanya dalam Bicara Khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung menerusi RTM TV1 dan Astro 502 dan Bernama TV, malam ini.
Mengenai sektor pelancongan dan penerbangan yang terjejas teruk, Muhyiddin berkata, beliau sedar dan faham keadaan itu, malah bersimpati dengan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Saya faham perasaan menteri dan mereka yang terlibat dengan sektor pelancongan. Ia akan ambil masa tiga hingga empat tahun untuk pulih, banyak industri tutup. Pengusaha bas dan teksi pelancongan gulung tikar, tersadai.
“Sebab itu, bagi membantu mereka, kita umum bantuan kepada pemandu teksi dan bas pelancongan, tetapi sejauh mana mengharapkan bantuan, selagi pelancong tidak boleh datang, macam mana mereka nak dapatkan pendapatan?,” katanya.
Ditanya pemintaan kerajaan negeri dan pihak swasta hendak membeli sendiri vaksin, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak ada halangan, tetapi mereka perlu memastikan vaksin itu mendapat kelulusan bersyarat dari bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Kalau mereka (kerajaan negeri) berminat, boleh. Tapi kena ada peraturan. Begitu juga kalau sesetengah agensi nak beli, boleh. Pastikan vaksin itu sudah diuji dan kena ada lesen kebenaran nak bawa masuk.
“Kita pun mengharapkan begitu kerana dengan cara ini proses untuk mencapai vaksinasi penuh vaksinsai tercapai,” katanya.
Di akhir wawancara itu, beliau menganggap pandemik Covid-19 ini sebagai cabaran bersama antara kerajaan dan rakyat.
Malah, ujarnya, ia merupakan satu peperangan, yang mana untuk selamat daripada serangan itu ialah duduk di rumah dan ikut semua SOP yang ditetapkan.
“Pasal patuh SOP berbuih saya cakap, tapi saya percaya sebahagian besar rakyat kita sudah faham. Sebab itu kalau ada usaha sedang dirancang dan dilaksanakan oleh semua pihak, kita kena ikut semua. Kita perlu ambil langkah berjaga-jaga.
“Kita kena ambil tanggungjawab ini secara bersama dan kenapa kerajaan tak buat lockdown? Sebab apapun usaha yang kerajaan buat tidak akan berkesan kalau rakyat tidak patuh SOP,” katanya. – MalaysiaGazette