‘Pembaikan segera dibuat di rel laluan insiden tren LRT’

KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati pembaikan segera perlu dilakukan di rel laluan insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berhampiran Stesen KLCC, Isnin lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata ia antara dapatan awal hasil pemeriksaan fizikal dilakukan 10 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel APAD di lapangan serta pusat kawalan Rapid Rail Sdn Bhd (RRSB), awal pagi tadi.
“Hasil pemeriksaan mendapati laluan kecemasan di sebelah kanan di lim rel 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran (patah di bahagian tapak). Ia perlu diambil tindakan pembaikan segera.
“Selain itu, tiga klip rel tidak dipasang pada bahagian rel iaitu satu klip di lim rel 1445 dan dua klip di lim rel 1444. Susulan itu, RRSB sudah memasang klip rel itu serta-merta,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.30 malam Isnin lalu, tren bersama 213 penumpang dari Gombak dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya, menyebabkan 65 penumpang cedera termasuk 47 parah.
Ka Siong berkata, APAD juga mengarahkan RRSB menggantikan ‘kabel pengesan kebakaran’ yang rosak bermula di segmen terowong 126 sehingga terowong 96 sepanjang kira-kira 28.5 meter.
“Ini untuk memastikan sistem pengesanan kebakaran dalam terowong berfungsi dengan baik dari Stesen KLCC hingga Stesen Kampung Baru.
“Pihak RRSB memaklumkan kerja penggantian akan dilakukan segera. Ini komponen keselamatan kritikal operasi utama bagi perkhidmatan LRT,” katanya.
Beliau berkata, turut dilakukan pengujian rollover tren bermula jam 3.08 pagi dan pemerhatian mendapati simulasi pergerakan tren berada dalam keadaan baik.
“Sebagai rumusan, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih mengikut pelan alternatif seperti dihuraikan semalam kerana bagi seksyen terbabit dalam pelanggaran tren, hanya satu landasan digunakan.
“Pasukan pemeriksaan APAD menyempurnakan misi mereka pada jam 4.30 pagi tadi sebelum perkhidmatan LRT bermula jam 6 pagi,” katanya.
Ka Siong berkata, pemeriksaan semula akan dilakukan APAD sebaik kerja pembaikan dan pemasangan disyaratkan dilaksanakan pihak RRSB.
“APAD akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum kelulusan pemulihan operasi diberi kepada RRSB,” katanya