
Kecelaruan tempahan vaksin AstraZeneca mencetuskan polemik antara SELangkah dan CITF.
PETALING JAYA: Pengendali aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dibangunkan kerajaan Selangor, menafikan dakwaan pihaknya terlibat dalam tempahan slot vaksin AstraZeneca sehingga mencetuskan kekeliruan orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif SELangkah, Tengku Eista Tengku Alaudin, berkata, dakwaan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) tersebut tidak berasas sama sekali.
“SELangkah tiada penglibatan dalam tempahan slot vaksin AstraZeneca tanpa pengetahuan individu seperti didakwa.
“Kami juga tidak pernah dihubungi oleh pihak CITF berhubung perkara ini seperti yang diberitahu,” kata beliau dalam kenyataan malam tadi.
Dalam kenyataan CITF, badan tersebut mendakwa mengenal pasti punca sebilangan individu diberi janji temu penerimaan vaksin walaupun tidak membuat tempahan.
CITF kemudian menuduh SELangkah memberi beberapa slot vaksin tersebut dalam jumlah besar tanpa semakan pangkalan data dan persetujuan individu.
Selasa lalu, orang ramai merungut berikutan mereka berdepan kesukaran memuktamadkan tempahan menerusi laman sesawang atau aplikasi MySejahtera untuk slot penerimaan vaksin tersebut. – UTUSAN