
JOHOR BAHRU: Polis Johor membongkar sindiket penyeludupan dadah yang menyembunyikan bahan itu dalam alat pemadam api sebelum diseludup dengan lori ais ke Singapura dalam operasi sekitar bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kejayaan itu hasil perkongsian maklumat Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor.
Katanya, sembilan serbuan dilancarkan di sekitar bandar raya ini kira-kira jam 1.20 pagi semalam.
“Dalam serbuan sekitar Johor Bahru semalam, sembilan suspek membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan selain seorang lelaki warga Indonesia berusia 26 hingga 46 tahun ditahan.
- Rumah sewa dijadikan pusat transit sindiket dadah antarabangsa
- Sindiket dadah ‘Rose Quartz’ tumpas
- Boy Setan, pengedar dadah guna dron diberkas
- Lebih 400 kg ganja mahu diseludup ke Malaysia dirampas
“Siasatan awal mendapati sindiket ini menyembunyikan dadah dalam alat pemadam api yang diubah suai sebelum diseludup dengan lori ais ke Singapura dan beroperasi kira-kira tiga bulan.
“Dengan tertangkapnya ahli sindiket ini, polis merampas 7.12 kilogram (kg) ganja, 4.52 kg syabu dan 3.11 kg heroin yang membawa nilai RM215,283.20.
“Polis turut menyita lapan kereta pelbagai jenis bernilai RM172,000, wang tunai RM1,200 dan pelbagai barang kemas bernilai RM11,693,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayob Khan berkata, saringan urin mendapati seorang suspek positif dadah manakala tiga suspek lagi mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.
“Semua suspek direman seminggu bermula hari ini sehingga 6 Jun depan manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya