JenayahMalaysia

Maritim rampas dadah RM3.33 juta

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mematahkan cubaan menyeludup keluar 31 kilogram dadah jenis syabu dan 25 kilogram ekstasi dianggarkan bernilai RM3.33 juta di perairan Pulau Ketam, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Kamaruszaman Abu Hassan, berkata dalam kejadian itu, dua beranak Orang Asli iaitu lelaki warga emas berusia 70 tahun dan anak perempuannya berusia 40 tahun serta seorang warga Indonesia berusia 24 tahun turut ditahan.

Bagaimanapun, lelaki warga emas itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke jeti Polis Marin Pulau Indah, susulan kecederaan dialaminya akibat berlaku pergelutan dalam bot dinaiki mereka ketika mahu melarikan diri sebelum itu.

Kamaruszaman berkata, bot gentian kaca dinaiki tiga individu itu dikesan sekitar jam 11 malam di kedudukan 3.4 batu nautika dari barat daya Sungai Kapar Kecil oleh anggota penguat kuasa yang sedang melakukan rondaan Op Belangkas.

Beliau berkata, bot suspek kemudian diarahkan berhenti untuk pemeriksaan dan seorang anggota maritim melompat masuk ke bot terbabit, namun tekong bot itu memecut bot untuk melarikan diri.

“Anggota yang berada dalam bot suspek kemudian melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menghentikan bot itu, tetapi lelaki warga emas itu berkeras dan cuba mencederakan anggota dengan menggunakan sauh.

“Anggota yang menaiki bot maritim pula kemudian berjaya mengejar dan menghimpit bot itu hingga berlaku pelanggaran.

“Bagaimanapun, anggota maritim dan tiga suspek berjaya diselamatkan sebelum bot suspek tenggelam di lokasi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui empat guni disyaki mengandungi dadah dipercayai ingin diseludup ke Indonesia.

“Warga emas terbabit mengalami kecederaan dan meninggal dunia sebelum tiba di jeti Polis Marin Pulau Indah,” katanya.

Kamaruszaman berkata, susulan itu, satu serbuan dilakukan di rumah suspek di Tanjung Harapan sekitar jam 5 pagi tadi dan menemui satu kilogram dadah jenis syabu di bilik warga emas terbabit.

“Kita masih menyiasat dari mana suspek mendapat bekalan dadah dan adakah mereka didalangi sindiket lain.

“Wanita Orang Asli dan warga Indonesia itu direman lima hari bermula hari ini serta kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close