#kitajagakitaMalaysia

Solat Jumaat, fardu di Wilayah Persekutuan terhad untuk AJK masjid, surau

PUTRAJAYA: Solat Jumaat dan solat fardu di masjid serta surau di Wilayah Persekutuan akan dihadkan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau, bermula esok hingga 14 Jun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata ketetapan itu susulan pengumuman terkini kerajaan membabitkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, solat Jumaat dibenar untuk dilaksanakan di masjid, surau Jumaat dan surau diberikan kebenaran khas untuk solat Jumaat dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang membabitkan pegawai masjid dan AJK saja dengan penjarakan 1.5 meter.

Katanya, solat fardu dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dan surau Jumaat dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang daripada pegawai masjid dan AJK saja dengan penjarakan ditetapkan.

“Solat fardu dibenarkan dilaksanakan di semua surau dengan bilangan jemaah tiga orang membabitkan imam, bilal dan noja atau AJK dengan penjarakan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ajib berkata, pengurusan jenazah membabitkan bukan pesakit COVID-19 tidak dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau kecuali dengan kelulusan khas.

Katanya, kelulusan itu tertakluk kepada had maksimum lima orang termasuk jurumandi.

Beliau berkata, kebenaran solat jenazah dan kehadiran bagi pengebumian tidak melebihi 12 orang termasuk ahli keluarga terdekat.

“Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ketetapan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) diumumkan sebelum ini.

“Kita berharap umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP ditetapkan dan bermunajat serta berdoa penularan wabak COVID -19 segera berakhir,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close