Masih tunjuk dokumen kebenaran pergerakan tidak lengkap

KUALA LUMPUR: Polis mengesan masih terdapat pengguna jalan raya mempamerkan dokumen kebenaran pergerakan tidak lengkap termasuk tidak ditandatangan serta senarai nama individu yang dibenarkan berbuat demikian.
Perkara itu dikesan dalam sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan di sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, yang juga adalah kawasan tumpuan pergerakan orang ramai di sekitar ibu negara.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata dokumen tidak lengkap adalah isu utama yang dikesan semasa pemeriksaan SJR pada hari ini selepas kerajaan mengumumkan kebenaran pergerakan membabitkan tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan.
“Kita mengesan ada antara mereka (pengguna jalan raya) yang melalui SJR di sekitar daerah Brickfields, ini membawa surat kebenaran dari kementerian yang disahkan namun dalam dokumen itu tidak menyenaraikan nama pembawa surat serta tidak ditandatangani.
- Hanya pekerja dengan surat pengesahan kementerian dibenar lepasi SJR
- Lelaki bawa 15 permit pergerakan PKPB palsu ditahan
- Perlu surat kebenaran lalu plaza tol Gombak, Rawang
- Padah guna telefon bimbit ketika memandu
“Jadi kita menghadapi kesulitan dalam mengenalpasti kesahihan kebenaran berkenaan namun untuk hari ini kita menasihatkan pembawa dokumen kebenaran berkaitan untuk melengkapkan surat yang dibawa mereka,” katanya kepada BH, dalam tinjauan SJR di Jalan Travers, di sini.

Anuar berkata, nasihat yang diberikan kepada pengguna jalan raya yang membawa dokumen berkenaan dianggap sebagai nasihat terakhir dan pihaknya tidak akan ragu-ragu mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan melakukan pergerakan.
“Mereka ini diragui menyalahgunakan surat dan pihak polis khususnya petugas di SJR terpaksa melakukan penelitian secara rapi kerana kita ingin mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.
“Malah, pihak polis juga turut memantau mana-mana individu yang tidak sepatutnya berada di jalan raya dan disarankan untuk bertugas di rumah namun sebaliknya masih berdegil melanggar arahan dikeluarkan,” katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya menasihatkan semua pengguna jalan raya khususnya yang melalui kawasan daerah Brickfields untuk bersabar disebabkan bakal menghadapi sedikit kesesakan akibat pemeriksaan polis secara terperinci.
Ahad lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, mengumumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menerima pakai surat pengesahan untuk pekerja yang dikeluarkan oleh kementerian dan agensi kerajaan dibenarkan.
Kementerian terbabit adalah Kementerian Perdagangan Antarbangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Tiga agensi kerajaan yang dibenarkan adalah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sektor institusi kewangan dan insurans, Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berkaitan sektor urus niaga saham serta surat pengesahan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi sektor peniaga kecil dan penjaja gerai makanan serta kenderaan saji (food truck).
PDRM turut membenarkan pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui sistem CIMS 3.0 dan pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes-kes baharu seperti reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah perlu menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman semasa di sekatan jalan raya.
Semua surat pengesahan itu perlu bertarikh 1 Jun 2021 dan mereka yang tiada sebarang surat pengesahan atau sudah tamat tempoh (sebelum 1 Jun 2021) akan diarahkan berpatah balik.
PDRM akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak mengikut peraturan rentas rempadan iaitu untuk ziarah kematian, kecemasan.