
KUALA LUMPUR: UMNO menafikan surat yang tersebar berhubung pelucutan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada parti dan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan berita palsu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, ketika menafikan perkara itu berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti tidak mengadakan sebarang mesyuarat hari ini.

Sehubungan itu, katanya, keputusan sedemikian tidak dibangkitkan dalam mesyuarat yang tidak pernah diadakan.
- UMNO tidak akan bersama Anwar, DAP
- Mesyuarat MKT UMNO esok batal
- ‘UMNO ambil kira akar umbi tolak kerjasama dengan BERSATU’
- Seorang sah digantung keahlian 6 tahun – SUA UMNO
“Mana ada mesyuarat MKT hari ini. Palsu merata alam,” katanya ringkas ketika dihubungi BH, hari ini.
Terdahulu, surat pelucutan keahlian Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong dan ditandatangani Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tersebar menerusi media sosial.
Menurut surat itu, keputusan pemecatan adalah selari fasal 10.6 Perlembagaan UMNO yang berkuat kuasa serta-merta berkenaan dibuat hasil mesyuarat MKT yang bersidang hari ini.
Alasan yang dikemukakan ialah kerana Hishammuddin didakwa melanggar fasal 20.8(a),(b),(c) dan (g) Perlembagaan UMNO.
Sekiranya disemak, Perlembagaan UMNO menyatakan fasal itu menggariskan peruntukan ‘semua ahli UMNO hendaklah cintakan parti dan (a) patuh kepada perlembagaan ini dan tata etika ahli; (b) mengikut perintah-perintah parti; (c) menjalankan dasar-dasar parti serta (g) senantiasa menunjukkan tata laku yang sopan lagi tertib.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sejak Rabu lalu berkenaan menerima menghadap beberapa pemimipin parti politik bagi membincangkan beberapa isu utama.
Ia antara lain merangkumi perihal pertimbangan untuk mengadakan semula persidangan Parlimen, selain pengurusan pandemik COVID-19 yang masih meruncing ketika ini meskipun darurat diisytiharkan.
Titah baginda itu secara tidak langsung mencetuskan khabar angin, kononnya kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bakal berakhir, sebaik tempoh proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos ini.
Sehubungan itu, media melaporkan bahawa wujud percaturan di balik tabir ketika ini mengenai calon seterusnya bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan termasuk usaha mencari sokongan, berbentuk akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen untuk menamakan beberapa individu sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Antara disebut-sebut ialah Hishammuddin sebagai Perdana Menteri, manakala Timbalan Perdana Menteri ialah Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mengulas lanjut penyebaran surat itu, Ahmad menjelaskan ia adalah perkara tidak berasas dan mengesyaki ia didalangi pihak yang mempunyai agenda politik tertentu.
“Ada pihak yang tiada kerja, jadi mulalah mencipta untuk pelbagai tujuan politik. Tiada kenyataan mengenai isu lain, selain kenyataan Presiden (Ahmad Zahid) selepas beliau menghadap Seri Paduka,” katanya.