761 ditahan ingkar SOP PKP

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa menahan 761 individu semalam, kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 741 orang dikompaun, 19 direman manakala baki seorang dibebaskan dengan jaminan.
Katanya, antara kesalahan ialah rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan di premis membabitkan 197 individu, tidak memakai pelitup muka (152), gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (127), tiada penjarakan fizikal (100), membawa penumpang berlebihan (62), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (61) serta premis ingkar arahan (15).
“Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 92,994 pemeriksaan semalam.
- Polis tahan 504 individu ingkar PKP
- 509 ditahan kerana ingkar PKP semalam
- 461 individu ditahan ingkar SOP
- 594 ditahan ingkar SOP PKP
“Ia membabitkan 4,550 pasukan pematuhan terdiri daripada 20,852 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengenai Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan enam kenderaan darat dirampas.
Katanya, sebanyak 165 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan dalam operasi sama.
“Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) menjalankan 951 sekatan jalan raya semalam,” katanya.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 135 operasi sanitasi dilaksanakan merangkumi 53 Zon Merah, tiga Zon Jingga dan tujuh Zon Kuning di seluruh negara, semalam.
Beliau berkata, operasi itu membabitkan 756 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 134 jentera bomba.
“Semalam juga seramai 349 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin.
“Secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 232,385 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 75 hotel, 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta seluruh negara,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam membuat 764 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan membabitkan 569 peruncit, 163 pemborong dan 32 pengilang.
Katanya, KPDNHEP juga melakukan 1,582 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, 1,565 premis mematuhi SOP manakala 17 dikenakan kompaun.