MalaysiaSetempat

241 mangsa banjir pindah ke tujuh PPS di Raub

Raub: “Saya meminta anak lelaki mendukung datuknya berusia 81 tahun dan meredah banjir dalam gelap untuk dibawa ke rumah kakak yang terletak di tempat lebih tinggi. Saya bersyukur ahli keluarga selamat walaupun barangan rosak kerana air naik begitu cepat dan deras,” kata Rosidah Abdul Razak, 50, dari Kampung Kundang Patah, di sini.

Beliau berkata, setiap kali hujan lebat berpanjangan, rumahnya sering dinaiki air dan tidak menyangka hujan lebat malam kelmarin menyebabkan berlaku banjir.

“Air mula naik dan memasuki rumah pada jam 1 pagi tadi, menyebabkan barangan dalam rumah tidak dapat diselamatkan kerana ia berlaku terlalu cepat.

“Saya cemas melihat air naik mendadak dan terus berpakat dengan anak untuk berpindah, tetapi ayah saya warga emas berusia 81 tahun enggan kerana dia tidak larat bergerak.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Sebab itu saya menyuruh anak lelaki mendukung datuknya meredah banjir dalam gelap untuk menyelamatkan diri ke rumah kakak saya di kawasan lebih tinggi,” katanya.

Rosidah berkata, dia pula berpindah ke masjid di kampung itu dan banjir ini kali kedua berlaku pada tahun ini.

“Saya pernah berpindah empat kali dalam tempoh setahun akibat banjir dan berharap kerajaan membaiki semula benteng di Sungai Lipis yang pecah bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, 241 mangsa banjir kilat membabitkan 64 keluarga dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini.

Beliau berkata, tujuh PPS diuruskan pihaknya itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai, Masjid Kampung Kuala Semantan, SK Kundang Patah dan Balairaya Kampung Sengkela.

Katanya, turut dijadikan PPS ialah Dewan Serbaguna Kampung Pia, Balairaya Kampung Gesing dan Dewan Orang Ramai Kampung Chenua dengan semua PPS dibuka semalam selepas banjir melanda kawasan terbabit.

“PPS Kundang Patah menempatkan mangsa banjir teramai iaitu 114 orang, diikuti PPS Dewan Serbaguna Kampung Pia (58), SK) Ulu Sungai (37), Masjid Kampung Kuala Semantan (16), manakala PPS lain menempatkan antara lima hingga enam mangsa.

“Kita mengagihkan bantuan toto, selimut, tuala, kain batik dan pelikat, selain kit bencana mengandungi sabun, ubat gigi, berus gigi serta beberapa barangan diberikan kepada ketua keluarga mangsa banjir.

“Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abd Aziz Mat Kiram melawat mangsa di tujuh PPS dan menyampaikan sumbangan wang tunai,” katanya, di sini, hari ini.

Zulkhairi berkata, pihak urusetia PPS sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, jawatankuasa PPS dianggotai beberapa agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) serta sukarelawan JKM bergotong-royong menyediakan makanan kepada mangsa.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close