
RAUB: Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat sudah menanam lebih 5,000 pelbagai spesies pokok hutan di kawasan Hutan Simpan Batu Talam yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram.
Kawasan ceroboh seluas lebih 101 hektar itu akan ditanam dengan kira-kira 20,000 pokok hutan selepas kerja menebang 15,000 pokok durian Musang King selesai minggu lalu.
Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali, berkata dalam masa tiga hari pihaknya menanam kira-kira 5,000 pokok Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain.
Menurutnya, dalam tempoh seminggu dijangka sebanyak 10,000 pokok dapat di tanam membabitkan lebih 100 kakitangan JPNP dengan aktiviti menanam dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
- Operasi tebang pokok durian haram lancar, tiada provokasi
- Tanam Musang King dalam kawasan tadahan air
- 213 pegawai, anggota PGA pantau situasi di Raub
- Kawalan PGA lancarkan operasi tebang durian haram
Katanya, tanah yang berbaja dan lembut di kawasan Hutan Simpan Batu Talam bekas kebun durian Musang King melancarkan lagi kerja menanam walaupun terpaksa memindahkan pokok ke kawasan berbukit.
“Kita menggunakan anak pokok yang terdapat di tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Rotan Tunggal, di sini selebihnya akan diambil di beberapa Pejabat Hutan Daerah lain.
“Sebelum kerja menanam pokok hutan dilakukan pokok durian Musang King yang ditebang perlu dipotong beberapa bahagian terlebih dahulu bagi memudahkan aktiviti menanam selain untuk memastikan pembesaran pokok hutan tidak terjejas,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, kakitangan yang bertugas terpaksa memindahkan anak pokok daripada pusat pengumpulan dalam Hutan Simpan Batu Talam ke kawasan menanam secara berperingkat.
Katanya, bentuk muka bumi yang berbukit menjadi cabaran pada mereka terbabit dengan kerja berkenaan.
“Kita akan berusaha secepat mungkin untuk selesaikan kerja menanam pokok hutan di kawasan terbabit, kita tidak boleh melengahkan kerja berkenaan bagi mengelak hakisan dan pencemaran sumber air.
“Hutan Simpan Batu Talam adalah kawasan tadahan air yang diwartakan pada 2002, sekiranya pencemaran berlaku akan menjejaskan sumber air penduduk daerah ini,” katanya.