Covid-19Malaysia

Kesan status jangkitan lebih cepat dengan ujian kendiri

KUALA LUMPUR: Orang ramai dijangka dapat mengetahui status dijangkiti COVID-19 atau tidak, lebih cepat menggunakan kit ujian kendiri, yang akan mula dipasarkan esok.

Setakat ini, Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) memberikan kelulusan bersyarat kepada dua kit iaitu ‘Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID-19’ buatan syarikat tempatan, Reszon Diagnostics International Sdn Bhd dan satu lagi kit kegunaan rumah, Gmate® COVID-19 buatan Korea, yang diberi kelulusan kepada Citymedic Sdn Bhd.

Kit ini boleh didapati di farmasi komuniti berdaftar atau fasiliti kesihatan swasta berdaftar.

Pakar Virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata menerusi ujian kendiri, orang ramai boleh mengesan kewujudan antigen dalam air liur masing-masing, seterusnya mengurangkan beban petugas kesihatan untuk melakukan semua ujian saringan.

“Dalam keadaan penularan pantas varian Delta, saringan dapat dilakukan sendiri dan membolehkan petugas kesihatan memberi tumpuan pada usaha merawat.

“Air liur mengandungi antara lapan juta hingga 100 juta virus dan kaedah persampelan air liur berupaya mengesan sama ada terdapat antigen SARS-CoV-2 dan membolehkan keputusannya terus diperoleh dalam tempoh pantas.

“Jika keputusan ujian pertama negatif, ujian kali kedua tetap perlu dilakukan selepas beberapa hari bagi memastikan tiada penularan jangkitan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Prof Sazaly berkata, ujian secara kendiri sudah digunakan meluas di Singapura dan hasilnya, penularan wabak menjadi lebih terkawal.

Rabu lalu, Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) memberi kelulusan bersyarat bagi pengimportan dan pengedaran kit ujian kendiri COVID-19 serta memuktamadkan syarat yang perlu dipatuhi oleh mana-mana syarikat yang mendapat kebenaran untuk mengimport dan mengedarkan kit ujian itu.

Ketua Eksekutif MDA, Ahmad Shariff Hambali, berkata antara syarat penting perlu dipatuhi adalah arahan penggunaan dan kaedah pelupusan yang jelas dan mudah difahami, melaksanakan sistem pemantauan keselamatan dan prestasi kit ujian, termasuk rekod pengedaran kit ujian.

Prof Sazaly berkata, pengguna perlu mematuhi arahan ujian dengan betul dan jika didapati positif, mereka perlu memasukkan kod QR itu ke dalam MySejahtera untuk memaklumkan kes kepada Kementerian Kesihatan (KKM) serta mematuhi tindakan susulan yang diperlukan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memberikan insentif pelepasan cukai supaya lebih ramai mahu melakukan ujian kendiri serta menggalakkan syarikat atau majikan melakukan ujian ini terlebih dahulu sebelum mengarahkan kakitangan membuat ujian real-time reverse-transcription polymerase chain reaction (rRT-PCR).

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Prof Datuk Dr Rohaizat Yon, berkata kelulusan kit ujian kendiri itu membolehkan orang ramai, pekerja atau majikan melakukan ujian pengesanan sendiri dengan lebih mudah, di samping mengurangkan beban makmal.

“Apa yang penting, orang ramai perlu memahami cara penggunaan dan pelupusannya serta mengambil tindakan seterusnya jika keputusan positif.

“Langkah ujian kendiri ini akan membolehkan seseorang tahu kewujudan antigen hanya menggunakan sampel air liur atau cairan daripada hidung dalam tempoh singkat,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close