Perlis larang individu rentas negeri solat Aidiladha

KANGAR: Individu merentas negeri, termasuk mereka yang berulang alik bekerja setiap hari, tidak dibenarkan solat sunat Aidiladha di Perlis, Selasa ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, larangan itu turut membabitkan ahli keluarga dan individu tinggal bersama mereka, kecuali mereka yang melengkapkan dos vaksin COVID-19.
“Pengurusan masjid berhak menegur dan tidak membenarkan kemasukan jemaah tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Pengerusi MAIPS, bertitah bagi kariah Kota Raja Arau, solat sunat Aidiladha akan didirikan di Dataran Istiadat Istana Arau pada jam 8 pagi untuk sesi pertama.

Baginda bertitah, sesi kedua solat pula pada jam 9 pagi di perkarangan Masjid Negeri Arau jika bilangan jemaah ramai.
“Jika cuaca tidak mengizinkan, maka satu sesi solat saja didirikan di masjid berdasarkan kapasiti maksimum dengan penjagaan SOP ketat pada jam 8.30 pagi,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM11,600 kepada amil kariah Masjid Kampung Binjal di sini, semalam, untuk diagihkan kepada 29 asnaf kariah tersebut, demikian menurut kenyataan itu. – BERNAMA