
KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) merangkap Pengerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, menegaskan tiada mana-mana pihak yang mensabotaj atau menghalang niat anggota misi itu untuk memasuki Gaza.
Abdul Azeez sebaliknya menegaskan yang perancangan HM4P terpaksa ditangguhkan berikutan faktor keselamatan yang masih tidak menentu di Gaza.
Beliau berkata, kehadiran HM4P memang dinanti-nanti dan diingati oleh rakyat Gaza kerana ini bukan kali pertama ia ditangguhkan.
“Tak ada mana-mana pihak sabotaj, tak ada yang blok dan tak ada mana-mana pihak yang tak benarkan HM4P masuk ke Gaza.
- Caprice tiba di Mesir bantu HM4P
- Ebit Lew akan buat penjelasan terperinci esok
- Caprice mohon maaf
- Misi kemanusiaan Ebit Lew ke Mesir dapat kelulusan
“Kita juga tidak pernah keluarkan kenyataan yang Wisma Putra enggan bantu kita kerana Wisma Putralah yang banyak memudahkan urusan kita, khususnya Kedutaan Malaysia di Mesir.
“Misi ini adalah untuk semua, merentas sempadan politik dan yang penting UMNO terus istiqamah dan terus membawa panji atas nama negara tanpa sempadan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program bertajuk Misi HM4P: Kisah Sebenar yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BKUM yang juga MKT UMNO merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dengan moderatornya, Datuk Dr Noor Azizan Abd Majid yang turut menyertai 17 anggota HM4P.
Selain itu, Abdul Azeez berkata, HM4P mempunyai kerjasama dan jalinan yang erat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, malah mereka mengalu-alukan gerak kerja bersama-sama dengan mereka.
“Sekarang kami tahu ada hikmahnya misi ke Gaza tertangguh kerana mengikut jadual gerak kerja di Gaza iaitu pada hari terakhir kita akan berada di pasar Zawiya dan kebetulannya pada waktu itu berlaku satu letupan yang menyebabkan kematian dan ada kecederaan kecederaan-kecederaan yang amat serius.
“Kita juga sudah sediakan kotak makanan untuk 5,000 keluarga dan kini kita dapat makluman bahawa sebahagian kotak-kotak ini telah diagihkan untuk rakyat di Gaza.
Jelasnya, biarpun misi kali ini bukan pengalaman pertama ke Gaza kerana sebelum ini telah tiga kali ke sana namun mengakui bahawa kali ini lebih sukar.
“Ini kerana antaranya pandemik COVID-19, selain kerajaan Mesir tidak mahu apa-apa berlaku kepada sukarelawan misi bantuan dari Malaysia ini.
“Inilah yang berulang kali mereka nyatakan iaitu mereka mahu kita semua selamat,” katanya.
Abdul Azeez berkata, tiga kementerian terbabit dalam memberikan kebenaran kepada HM4P membuat misi kemanusiaan di Palestin iaitu Menteri Luar Negeri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Sementara itu, beliau turut menyentuh berkaitan isu membabitkan pendakwah Ustaz Ebit Lew, penyanyi rap Caprice dan aktivis Nadir An Nuri.
“Kita berbangga dengan Ustaz Ebit Lew yang dapat masuk ke Gaza, Alhamdulillah, dan insya Allah kita juga akan ke sana tak lama lagi dan kita mohon semua doakan.
“Kita juga doakan, Ustaz Ebit Lew, saudara Nadir dan anakanda Caprice, agar Allah berikan tawfik dan hidayah, dan kita raikan pendapat mereka kerana kita pun tak tahu apa yang berlaku kerana mereka yang berkomunikasi dan berinteraksi antara mereka tapi apa yang saya nak kita sentiasa mendoakan agar kita bersatu dalam satu saf kerana niat kita adalah untuk bantu rakyat Palestin di seluruh dunia. Kita tak nak ada perpecahan di antara kita,” katanya.
Menurutnya, BKUM sendiri sudah melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan dan sudah sampai kepada 40 negara dengan pelbagai cabaran.
“Kita melangkau sempadan politik dengan 40 misi yang telah kita lakukan dan ini adalah misi ke 41,” katanya.
Abdul Azeez menyifatkan, 65 peratus misi HM4P sudah berjalan lancar dan berjaya dilaksanakan yang antaranya menyalurkan sumbangan USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa bagi membaikpulih, menambah baik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan serta penyelenggaraan masjid terbabit akibat musnah selepas diserang Israel, selain sumbangan kemanusiaan.