Malaysia

Penoreh getah mengaku salah 4 tuduhan rogol adik ipar OKU

PASIR MAS: Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap empat pertuduhan merogol adik iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU) mental, pada tahun 2018 dan awal bulan lalu.

Tertuduh berusia 54 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adik iparnya yang ketika kejadian berusia 15 tahun dan mengetahui kecacatan mental mangsa di sebuah rumah di Tanah Merah pada jam 6.30 petang, pada akhir Oktober 2018.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang kini berusia 18 tahun, pada Julai tahun ini.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah, masing-masing pada jam 10.30 pagi pada 1 Julai lalu; 2 Julai (jam 9 pagi) dan 10 pagi pada 7 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan bagi empat pertuduhan itu yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 30 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh selepas mengambil kira hubungan mangsa dengan tertuduh iaitu abang ipar dan adik ipar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk memberi jaminan kepadanya atau sebaliknya.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 15 Ogos ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close