JenayahMalaysia

Bina parit elak Hutan Simpan Kekal Batu Talam diceroboh

RAUB: Sebanyak tujuh parit setiap satu sepanjang 0.9 meter dan 1.52 meter dalam dibina bagi menghalang kejadian menceroboh Hutan Simpan Kekal Batu Talam, di sini tidak berulang pada masa akan datang.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad, berkata dua parit dibina bagi memutuskan laluan utama masuk ke kawasan terbabit dan lima lagi parit dibuat di sekitar kawasan bekas kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam hutan simpan kekal berkenaan.

Beliau berkata, kerja membina parit terbabit menggunakan jenkaut mengambil masa selama dua hari selepas kerja menanam pokok hutan selesai sepenuhnya, Sabtu lalu.

Katanya, pembinaan parit terbabit seolah upacara penutup Operasi Pamah yang bermula 3 Julai lalu, membabitkan kawasan Hutan Simpan Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar itu.

“Kita berharap dengan adanya tujuh parit besar itu Hutan Simpan Batu Talam tidak lagi diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri sendiri menerusi projek pertanian diusahakan.

“Hutan simpan kekal ini adalah kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan air pada penduduk daerah ini,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, episod hitam pencerobohan Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram oleh penduduk setempat sebelum ini diharap tidak berulang lagi selepas ini.

Shahril berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan terbabit selepas ini dengan menggunakan dron bagi memastikan tidak ada lagi pihak bertindak menceroboh hutan simpan berkenaan untuk apa juga tujuan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali, berkata pihaknya menanam sebanyak 19,293 pelbagai spesies pokok hutan antaranya merawan, meranti, balau, keruing dan beberapa spesies lain.

“Kita juga menanam sebanyak 610 spesies pokok nadir membabitkan 200 pokok sentul dan 410 pokok tampoi berumur enam bulan hingga setahun. Pokok berkenaan ditanam secara selerak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang bentuk muka bumi berbukit.

“Kerja menanam pokok dilakukan kakitangan JPNP membabitkan semua daerah dan aktiviti menanam berjalan lancar dengan pengawasan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut sama menyertai Operasi Pamah,” katanya.

Operasi Pamah membabitkan kerja memusnahkan kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 101 hektar bertujuan untuk mengekalkan kawasan tadahan air di daerah ini.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close