#kitajagakitaMalaysia

Penjawat awam digalak buat sumbangan wakaf

PUTRAJAYA: Hanya kira-kira 2,000 penjawat awam daripada keseluruhan 1.6 juta ketika ini, membuat potongan gaji untuk sumbangan wakaf bagi membantu golongan yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Prof Madya Dr Amir Shaharuddin, berkata jumlah itu masih sedikit jika dibandingkan dengan zakat.

“Masyarakat di negara ini masih kurang memahami dengan konsep wakaf dan ramai yang tidak tahu bagaimana untuk memberikan wakaf.

“Kita memohon penjawat awam yang masih menerima gaji bulanan untuk membantu dan kita galakkan mereka memberi wakaf tunai kerana ia lebih mudah. Proses juga mudah iaitu hanya dengan transaksi wang tunai secara atas talian.

“Jika wakafkan harta seperti tanah atau rumah, prosesnya agak lama dan mungkin ada yang tidak mampu,” katanya dalam Webinar Waqf Breakfast Talk: Penjawat Awam Pemangkin Kemakmuran Wakaf.

Amir berkata, pihaknya memberi tumpuan pada tiga perkara iaitu kesihatan, pendidikan dan ekonomi dalam menyalurkan sumbangan ketika ini.

Beliau berkata, YWM menyalurkan sumbangan RM1.5 juta bagi membantu empat hospital, dengan membeli peralatan untuk hospital berkenaan dan memberi peranti seperti tablet kepada pelajar bagi memudahkan mereka belajar dalam talian.

“Kita lihat ada keluarga yang tidak mampu membeli peranti kepada anak mereka untuk belajar secara dalam talian.

“Kebanyakan pelajar terpaksa meminjam telefon pintar ibu bapa dan apabila ibu bapa mereka bekerja, mereka tidak dapat menggunakan peranti itu untuk belajar.

“Kita risau akan ada jurang di masa depan jika perkara ini berlanjutan,” katanya.

Selain itu, Amir berkata, menerusi laman web YWM, orang ramai juga boleh memilih negeri tertentu untuk menyalurkan bantuan.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk memberikan wakaf kepada mutali atau ejen yang dilantik oleh majlis agama Islam negeri bagi mengelakkan mereka ditipu.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close