MalaysiaPolitic

PN belum terkubur, UMNO perlu kemuka bukti

KUALA LUMPUR: Kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tergugat sekiranya lebih ramai Ahli Parlimen daripada UMNO menarik balik sokongan kepadanya.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, bagaimanapun berkata keadaan ketika ini belum jelas walaupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat pendirian hari ini.

“Ini bukan kali pertama, sudah tiga kali MKT UMNO mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

“Keadaan sekarang pun tidak jelas kecuali jika ramai Ahli Parlimen UMNO yang keluar (PN), ia menunjukkan kerajaan hilang majoriti. Jika ini berlaku, memang jelas hilang sokongan dan Muhyiddin perlu lepaskan jawatan.

“Mengikut sistem demokrasi, PM akan minta Parlimen dibubarkan untuk adakan Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya kepada BH, hari ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO petang ini ini sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata MKT UMNO membuat pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Mohd Azizuddin berkata, bagi memastikan PN dapat terus menjadi kerajaan, gabungan itu perlu meraih sokongan daripada parti lain seperti Parti Warisan Sabah (WARISAN), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Perkara ini terpulang kepada Perdana Menteri. Beliau boleh cuba raih sokongan dari parti lain untuk kekalkan kedudukan.

“Tetapi keadaan ini mungkin agak sukar kerana semalam, Ahli Parlimen pembangkang melakukan protes sekali gus memperlihatkan sukar untuk kemungkinan ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P Sivamurugan berkata, PN masih belum terkubur walaupun MKT UMNO mengumumkan menarik sokongan sepenuhnya.

“Jika strategi UMNO kali ini betul, mungkin boleh dilakukan rundingan untuk Ahli Parlimen mereka dilantik menjadi PM.

“Sebagaimana kita ketahui, UMNO tidak mahu Perdana Menteri dilantik daripada BERSATU.

“Maka, jika kali ini dapat dibuat rundingan dan tawar menawar, mungkin UMNO boleh naik (jadi Perdana Menteri), sekali gus menyelamatkan PN,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close