PH tolak segala tawaran Muhyiddin

KUALA LUMPUR -Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian untuk menolak segala tawaran tidak ikhlas Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Majlis Presiden PH, Perdana Menteri sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.
“Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.
“Sebaliknya, PH memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19.
“Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Kenyataan bersama itu terdiri daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menurut Majlis Presiden PH, perutusan khas Muhyiddin hari ini adalah pengakuan terbuka beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, di mana beliau hendaklah meletakkan jawatan, kata mereka.
“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan pembangkang.
“Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Lebih dari itu, menurut PH, kenyataan Muhyiddin berkata “tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.- MalaysiaGazette