Rugi RM52 juta akibat jenayah dalam talian

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM52 juta kerugian dikaitkan dengan jenayah kewangan atas talian seperti ‘cryptocurrency’ dan ‘forex’, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Mohd Zuki Ali.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah sindiket penipuan pelaburan itu lebih besar iaitu dianggarkan hampir RM100 juta.
Katanya, kajian Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) pada tahun lalu menunjukkan kes jenayah penipuan seperti ‘phishing’ dan skim pelaburan haram semakin meningkat.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengenal pasti 80,000 keldai akaun yang digunakan oleh sindiket dalam talian sepanjang tahun 2019 dan antara Januari hingga Julai tahun lalu.DISYORKAN UNTUK ANDA
- Kes jenayah komersial catat peningkatan membimbangkan
- Tak adil bandingkan RCI forex dengan 1MDB
- Sindiket penipuan forex RM80j tumpas
- Dewan Rakyat luluskan RUU Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019
“Sebanyak 672 laporan polis dibuat berkaitan sindiket penipuan pelaburan membabitkan kerugian dianggarkan hampir RM100 juta dengan RM52 juta kerugian dikaitkan pelaburan atas talian iaitu mangsa biasanya terpedaya oleh pelaburan cryptocurrency dan forex,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program menandatangani memorandum kerjasama (MOC) antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Cybersecurity Malaysia (CSM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Penasihat NFCC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CSM, Jeneral (B) Tan Seri Mohd Azumi Mohamed dan Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Mustafar Ali.
Mohd Zuki berkata, kerjasama antara NFCC dan CSM itu adalah sebahagian daripada pendekatan pentadbiran kerajaan untuk membanteras jenayah kewangan.
“Pendekatan ini amat perlu bagi negara yang melaksanakan agenda besar, termasuk dalam menghadapi ancaman kegiatan jenayah kewangan yang makin berleluasa,” katanya.
Beliau turut menggesa, ketua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan mengambil inisiatif sedemikian dalam membentuk rangka kerja bersepadu, meneliti ruang dan peluang jenayah yang berlaku.
Perbincangan kerjasama antara NFCC dan CSM bermula sejak tahun lalu dengan persetujuan bagi membentuk inisiatif dan agenda dalam memerangi jenayah kewangan dan mengekang ketirisan, khususnya dalam aspek keselamatan siber.