
KHAIRY Jamaluddin mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas sebagai Menteri Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyifatkan jawatan dipegangnya itu adalah yang paling mencabar sepanjang kariernya.
Khairy memaklumkan perkara itu menerusi Instagramnya selepas melapor diri hari pertama di Kementerian Kesihatan (KKM), petang tadi.
“Melaporkan diri dalam pekerjaan yang mungkin paling mencabar dalam karier saya. Saya berjanji akan memberikan sepenuh tenaga yang saya ada untuk menjadikan Malaysia selamat daripada wabak dan muncul lebih kuat selepas ini.
“Semoga rahmat Tuhan membimbing kita ke hari-hari yang lebih baik,” katanya.
Ketibaan beliau di Ibu Pejabat KKM di sini disambut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan warga kerja kementerian.
Selain Khairy, turut melapor diri pada hari ini ialah Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang.
Terdahulu awal petang tadi, Khairy dan barisan anggota Jemaah Menteri yang lain serta 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – UTUSAN ONLINE