Malaysia

Lelaki warga emas rugi RM400,000 diperdaya ‘parcel scam’

SEREMBAN: Perkenalan seorang warga emas dari Port Dickson dengan seorang wanita di laman sosial sejak Jun tahun lalu, membawa padah apabila beliau kerugian kira-kira RM400,000 akibat diperdaya sindiket ‘parcel scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata pesara lelaki berusia 78 tahun itu mendakwa berkenalan dengan seorang wanita, Velostin Tina, dari Amerika Syarikat (AS) menerusi laman Facebook.

Aibee berkata, mangsa dijanjikan kiriman bungkusan dipercayai wang bernilai lebih RM60 juta (AS$1.5 juta), yang akan dihantar menerusi perkhidmatan kurier ke negara ini.

“Wanita itu berjanji datang ke Malaysia dan memberi 30 peratus daripada wang itu kepada mangsa. Dalam proses untuk mendapatkan bungkusan dijanjikan, mangsa membayar beberapa kos kastam dan cukai ke lima akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Aibee berkata, lelaki berkenaan berasa ditipu selepas diminta membayar sebanyak RM479,250 lagi kepada wanita itu, sedangkan bungkusan dijanjikan masih belum diterima.

Aibee berkata, mangsa membuat laporan polis kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.– BERNAMA

Source
Berita Harian Online
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close