
KUALA BERANG: Peniaga yang didapati menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga runcit ditetapkan akan dikompaun mulai 12 September ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.
Beliau berkata, langkah itu diambil susulan keputusan kerajaan menetapkan harga jualan runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 adalah RM19.90 manakala harga borong ditetapkan RM16, berkuat kuasa esok.
Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh selama seminggu ini kepada peniaga untuk bersedia menjual bekalan berkenaan pada harga ditetapkan sebelum tindakan tegas diambil kepada mereka yang ingkar.
“Harga siling kit ujian kendiri COVID-19 berkuat kuasa esok dan kementerian beri tempoh seminggu kepada peniaga untuk jual stok yang mereka beli dengan harga lama,” katanya selepas melawat Projek Kelompok Ternakan Ikan Kumpulan Generasi Kedua Felda Bukit Bading, Ajil, hari ini.
Rosol berkata, kementerian memberi kelonggaran dalam tempoh seminggu kepada peniaga untuk menghabiskan stok yang ada bagi memastikan mereka tidak menanggung kerugian atau mendapat kembali modal yang dikeluarkan sebelum ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan mengenai kit ujian COVID-19 palsu.
Beliau berkata, pengguna yang menjadi mangsa penipuan diminta melaporkan kepada pihak kementerian bagi membolehkan tindakan diambil.
“Setakat ini, tiada laporan rasmi, cuma kita ada dapat maklumat ada kit ujian palsu yang dijual dengan harga mahal.
“Pengguna yang menjadi mangsa atau rasa tertipu, boleh lapor pada kita dan yang penting, simpan resit pembelian sebagai bukti,” katanya.