
SEREMBAN: Seluruh umat Islam di negara ini diharap dapat bersama-sama membantu menyelamatkan pusat tahfiz yang kebanyakannya kini umpama ‘hidup segan mati tak mahu’.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Abdullah Abdol Razak, berkata amat merugikan jika pusat tahfiz ditutup kerana umat Islam di negara ini akan kehilangan institusi yang bakal memberikan manfaat kepada pembangunan Islam itu sendiri.
“Kerajaan sudah memberikan bantuan, namun masih terdapat sebahagian besar pusat tahfiz yang masih dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’. Menjadi tanggungjawab umat Islam di negara ini untuk menyalurkan bantuan.
“Bayangkan sudah berapa ramai pendakwah dan alim ulama yang dilahirkan pusat tahfiz yang akhirnya memberi manfaat kepada umat Islam dalam usaha menyebarkan dakwah,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, ada sesetengah pusat tahfiz dibangunkan puluhan tahun lalu dan sudah membelanjakan ribuan ringgit untuk terus memberikan ilmu agama kepada anak bangsa.
“Sayang jika ditutup, banyak peluh keringat yang sudah dicurahkan untuk memastikan ia terus dapat beroperasi. Namun, dalam sekelip mata ia terpaksa ditutup akibat pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini.
“Saya menyeru seluruh umat Islam di negara ini supaya sama-sama menderma dan membantu untuk menyelamatkan pusat tahfiz ini,” katanya yang menguruskan 13 institusi pengajian berasaskan pengajian al-Quran milik Yayasan Sofa.
Sebelum ini, Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) mendapati sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di negara ini perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.
Presidennya, Manolito Mohd Dahlan dilaporkan berkata, ia berdasarkan kajian pihaknya terhadap 512 maahad tahfiz di negara ini.
Katanya, kajian mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, bayar separuh gaji (52 peratus), boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus), tidak menerima bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (38.1 peratus) dan menerima yuran separuh atau kurang kerana ibu bapa tidak berkemampuan (85.4 peratus).