MalaysiaSetempat

‘Air terjun’ pula melimpah di kondominium Conezion

ANTARA situasi kebocoran yang berlaku di Conezion Residences, Putrajaya

PUTRAJAYA: Penduduk kondominium mewah, Conezion Residences, di sini sekali lagi berdepan masalah ‘banjir’ dalam kawasan kediaman itu apabila berlaku limpahan air akibat hujan lebat ekoran paip tersumbat.

Menceritakan situasi itu kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk yang mahu dikenali Florence Lee yang bekerja sebagai juruukur tanah berkata, sebahagian koridor, lobi, tempat letak kereta dan pekarangan lif digenangi air selain air menitis dari siling yang bocor seolah-olah wujud mini ‘air terjun’ di bangunan kediaman itu.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila lebihan air yang banyak tidak dapat disalurkan sempurna kerana paip tersumbat disebabkan reka bentuk saluran air itu tidak dibina dengan baik.

“Kami tidak faham bagaimana pemaju perumahan ini mengabaikan aspek kualiti, sedangkan kos kediaman bertaraf elit. Benda asas pun tidak dibina dengan baik, diambil sambil lewa.

“Masalah seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kami baru sahaja merasai azab ekoran lif rosak baru-bari ini selain banjir ekoran limpahan air di bilik pili bomba, kali ini berlaku masalah lain pula,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kekecewaan penduduk kondominium itu berhubung tahap fasiliti daif terutama melibatkan perkhidmatan lif yang gagal berfungsi sepenuhnya mengakibatkan mereka terpaksa beratur panjang setiap hari untuk menggunakan kemudahan itu yang hanya satu beroperasi.

Lebih memburukkan, kediaman yang dibeli pada harga hampir RM1 juta itu hanya indah khabar dari rupa walaupun baru mendiami tiga tahun, namun pelbagai masalah berlaku sedangkan isu kualiti sepatutnya berada pada tahap tertinggi agar setimpal dengan kos kediaman.

Bagaimanapun, pihak pemaju, IOI Properties mendakwa, aspek penyelenggaraan dan pengurusan kawasan umum telah diserahkan kepada JMB sejak 20 Julai lalu, namun mereka berjanji akan menyelesaikan isu berkenaan melalui penubuhan jawatankuasa kerja dengan JMB.

Florence berkata, pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) terpaksa menanggung masalah yang ditinggalkan pihak pemaju sedangkan masalah sebegini jarang berlaku di kediaman lain apatah lagi baru berusia tiga tahun.

Katanya, pemaju turut mengabaikan pembayaran fi penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas untuk unit komersial dengan anggaran RM20 juta yang tertunggak sejak milikan kosong itu diserahkan kepada pembeli pada 2018.

Malah, katanya, pemaju juga tidak mematuhi Akta Pengurusan Strata 2013, Seksyen 10 (1) yang mana akaun penyelenggaraan tidak disatukan, sebaliknya, dipecahkan kepada dua bagi mengelak bayaran fi penyelenggaraan itu.

“Kami tidak terima fi penyelenggaraan bagi premis komersial dan pihak pemaju tidak pernah mengemukakan apa-apa akaun yang telah diaudit kepada JMB sejak diserahkan pengurusan bangunan itu kepada JMB.

“Ini adalah bertentangan dengan Akta Pengurusan Strata,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Source
Utusan Malaysia
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close