
SEREMBAN: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital awam di Negeri Sembilan terus mencatatkan penurunan apabila ketika ini kadarnya hanya sekitar 65.5 peratus iaitu keempat terendah dalam negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kadar penggunaan pusat kuarantin di Negeri Sembilan juga adalah paling rendah ketika ini dengan penggunaan sebanyak 12.3 peratus daripada kapasiti.
Katanya, perkembangan yang baik itu adalah hasil kadar vaksinasi yang tinggi dilaksanakan dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Situasi ini menunjukkan perkembangan yang amat baik dalam usaha menyekat penularan pandemik COVID-19 dan menurunkan kadar jangkitan wabak itu di negeri ini.
“Sehingga semalam hampir 100 peratus atau 810,438 orang penduduk berusia 18 tahun ke atas di Negeri Sembilan telah menerima dos pertama vaksin.
“Sebanyak 86.9 peratus atau 707,882 orang penduduk berkenaan pula sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam buat pertama kalinya Negeri Sembilan mencatatkan kadar jangkitan baharu COVID-19 di bawah 200 kes apabila merekodkan 198 kes berbanding 252 kes pada Jumaat lalu.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri berharap masyarakat di Negeri Sembilan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin agar jumlah kes terus menurun.
“Sama-samalah kita berusaha agar Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang seterusnya akan melancarkan pemulihan ekonomi negeri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 2,100 set bakul makanan sudah diagihkan kepada golongan sasaran di lapan daerah di negeri ini setakat ini menerusi program Bakul Makanan Harapan 2021.
“Bakul makanan ini bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan dengan wabak COVID-19,” katanya.