Covid-19Malaysia

Kes COVID di Melaka masih membimbangkan – Mohd Ali

AYER KEROH: Program vaksinasi di Melaka perlu dipercepatkan bagi membolehkan negeri itu terus melangkah ke Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, berkata langkah berkenaan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri serta rakyat supaya lebih banyak aktiviti ekonomi boleh beroperasi sekali gus dapat menjana pendapatan rakyat keseluruhannya.

“Saya difahamkan, program vaksinasi sedang giat dijalankan ketika ini untuk membentuk imuniti kelompok dan setakat 17 September lalu di Melaka, kadar vaksinasi bagi dos kedua bagi penduduk dewasa sudah mencapai 75.9 peratus.

“Sehubungan itu, saya meminta semua rakyat Melaka yang sepatutnya mendapatkan suntikan vaksin hendaklah segera berbuat demikian bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad.

Mohd Ali turut melahirkan kebimbangan dengan situasi pandemik COVID-19 di Melaka yang masih belum menunjukkan tanda penurunan.

Katanya, sehingga 17 September lalu, terdapat pertambahan 287 kes baharu yang dilaporkan di Melaka, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang disahkan positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada 54,614 kes.

Bagaimanapun, beliau berkata kes sembuh meningkat kepada 85.9 peratus iaitu 46,823 kes diikuti 6,897 kes aktif yang sedang menerima rawatan termasuk 70 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) selain 23 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Mengambil kira saiz Melaka yang kecil dengan jumlah penduduk tidak sampai sejuta orang itu, pada pandangan saya, kes COVID-19 yang dicatatkan di negeri ini amatlah membimbangkan.

“Justeru, saya mencadangkan supaya semua pihak yang terbabit, khususnya jentera pentadbiran termasuk rakyat Melaka mempergiatkan lagi usaha untuk membendung penularan wabak ini termasuk mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi kepada semua rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali mahu kerajaan negeri memastikan perancangan hala tuju pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan baik demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, menerusi Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang dilancarkan pada 8 Mac lalu perlu dijadikan aspirasi kerajaan negeri dalam memacu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan domestik dan asing, selain meningkatkan sektor pelancongan, pembangunan infrastruktur, pemeliharaan warisan serta peningkatan modal insan melalui pendidikan.

Justeru, katanya, beliau berharap pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dapat memastikan perancangan yang dibuat berdasarkan kepada lapan `flagship’ meliputi Pembangunan Zon Pesisir Pantai (MWEZ), pengurusan air, pembangunan bersasar, pembangunan dalam pendigitalan, pelancongan, pendidikan, usahawan dan juga kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Selain itu, pihak kerajaan perlu memantau segala perancangan dan sasaran yang ditetapkan supaya kesan pembangunan dapat dirasai oleh semua golongan rakyat.

“Saya juga berharap perancangan berkenaan bersifat inklusif dan tiada kumpulan rakyat yang terpinggir dalam menikmati hasil perancangan pembangunan terbabit,” katanya.

Mohd Ali berkata, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) difahamkan sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka untuk melaksanakan penilaian semula indikator negeri maju Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berkaitan supaya selaras dengan PSMJ 2035 serta berpandukan kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang diterima pakai oleh semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Persidangan Pertama, Penggal Keempat DUN Ke-14 akan berlangsung selama empat hari, bermula hari ini dan akan berakhir pada Khamis ini.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close