#kitajagakitaMalaysia

Malaysia-Singapura iktiraf sijil vaksinasi kedua-dua negara

PAGOH: Malaysia dan Singapura sepakat untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing dalam tempoh terdekat bagi memudahkan pergerakan sempadan di kedua-dua negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau sebelum ini berhubung dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara itu dan Singapura bersetuju dengan perkara berkenaan.

“Dengan keadaan COVID-19 dan kadar vaksinasi di Malaysia dan Singapura yang masih belum selesai, mungkin beliau (Hsien Loong) agak berhati-hati.

“Malaysia juga mahu ke Singapura kerana hubungan kedua-dua negara ini begitu rapat, termasuk bagi urusan perniagaan setiap hari dan apabila sempadan negara tidak dapat dibuka lagi, ia menjadi masalah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pimpinan BERSATU Johor di Pejabat BERSATU Bahagian Pagoh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini hanya kenderaan lori dibenarkan masuk ke negara ini dengan pemandu divaksin di Singapura.

“Jadi, ini antara perkara yang akan kita perhalusi bila ia dianggap sesuai dan Singapura bersetuju apabila vaksinasi sudah sampai ke peringkat yang lengkap.

“Apabila sijil vaksinasi Malaysia dan Singapura diiktiraf bersama, ia akan membolehkan pergerakan antara kedua-dua negara, termasuk sempadan Thailand dan sempadan antarabangsa lain juga akan dibuka,” katanya.

Katanya, semua perkara itu akan diambil kira dan apabila tiba situasi vaksinasi sudah meningkat, negara sudah menjadi lebih selamat dan sempadan daerah, negeri serta antarabangsa akan mula dibuka.

“Kita akan teliti data dan pandangan daripada pakar-pakar, termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) serta soal keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close