
KUANTAN: Seramai 74 individu berusia 10 hingga 28 tahun ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan di bandar ini selama sembilan jam berakhir 10 malam tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata operasi dilakukan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Menurutnya, mereka yang ditahan termasuk 13 wanita kerana melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk mengubah suai motosikal.
Katanya, dalam operasi kali ini pihaknya menahan 50 motosikal yang diubah suai seperti menggunakan tayar kecil, tiada nombor pendaftaran dan sebagainya.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 20 motosikal disita kerana tidak memenuhi spesifikasi selain turut mengeluarkan saman sebanyak 117 saman.
“Antara kesalahan terbanyak direkodkan adalah tidak memakai topi keledar iaitu sebanyak 46 kes, tidak memiliki lesen (21 kes) dan ubah suai nombor pendaftaran kenderaan (14 kes).
“Selain itu tiga kes direkodkan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya,” katanya selepas meninjau Ops Samseng Jalanan di Balai Polis Trafik Kuantan, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya akan melakukan operasi seumpama itu secara berterusan pada masa akan datang secara bersama agensi lain terutama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membendung kegiatan modifikasi kenderaan.
Ramli berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya memainkan peranan dalam memastikan anak mereka tidak mengubah suai kenderaan hingga boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada mereka tetapi juga pengguna jalan raya lain.
Katanya, ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak terutama pada waktu malam.