MalaysiaSetempat

RMKe-12: Struktur kementerian, agensi disusun semula

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menyusun semula struktur dan fungsi kementerian dan agensi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata transformasi perkhidmatan awam itu adalah sebahagian daripada inisiatif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bermula tahun ini hingga 2025.

Beliau berkata, penyusunan semula struktur dan fungsi kementerian serta agensi membolehkan agensi yang lebih mendatar diwujudkan, selain mengurangkan kerenah birokrasi.

“Mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik.

“Cadangan memperkenalkan akta perkhidmatan awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RMKe-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata, RMKe-12 bakal menyaksikan perkhidmatan dalam talian peringkat awal ke akhir atau ‘end-to-end’ disasar meningkat kepada 80 peratus pada 2025.

Katanya, peningkatan pendigitalan perkhidmatan awam itu akan dilaksanakan menerusi Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 yang baru dilancarkan, bagi memacu agenda Kerajaan Digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital.

“Rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dan swasta yang lebih meluas,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close