
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini dijangka dapat menunaikan umrah dalam masa terdekat selepas penelitian ke atas beberapa perkara dilakukan sebelum membuat pengumuman itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, mereka perlu bersabar sementara menunggu pengumuman berkenaan kebenaran secara rasmi untuk menunaikan ibadat umrah.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berbincang untuk membenarkan rakyat kita menunaikan umrah dan ibadat haji tahun depan.
“Mengenai kouta kebenaran ke Makkah bergantung kepada kerajaan Arab Saudi kerana mereka juga ada syarat yang ketat ketika ini kerana COVID-19 dan kita kena ikut peraturan di sana nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Haji anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), di Bilik Mesyuarat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dan Pengarah IPSAS UPM, Prof Dr Ismi Arif Ismail.
Idris berkata, semua sedia maklum kerajaan Arab Saudi mengumumkan ibadat umrah mula dibuka semula kepada jemaah dari luar negara bermula 10 Ogos yang lalu.
“Dengan penurunan kes yang semakin rendah, marilah kita berdoa supaya kita semakin hampir untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah seperti sedia kala dengan norma baharu.
“Justeru, dengan adanya buku ini ia dapat dibaca oleh bakal haji dan umrah dalam memantapkan pengetahuan mengenai kesihatan diri, penyakit dan rawatannya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan kesediaan pihaknya menyambut kedatangan 70,000 jemaah umrah sehari.
Menurut akaun Twitter jabatan tertinggi itu yang memetik kenyataan Penolong Ketua Pengarah Hal Ehwal Masjidil Haram Dr Saad Muhammad Al-Muhaimidi, pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga 120,000 sehari berbanding 60,000 ketika ini.