Kampung Orang Asli di Cameron Highlands kena PKPD

KUALA LUMPUR: Kampung Orang Asli Kuala Boh, Pos Menson di Cameron Highlands, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini hingga 13 Oktober ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata Kampung Orang Asli Kuala Boh yang terletak di Mukim Ulu Tenom itu menjadi lokaliti terbaru dikenakan PKPD oleh kerajaan.
“Selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan, kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan PKPD di lokaliti itu.
“Prosedur operasi standard (SOP) sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan hari ini turut memutuskan tempoh PKPD di Kampung Tementong, Mukim Cheka 1, Lipis, Pahang yang sepatutnya tamat esok disambung 14 hari lagi mulai Khamis ini hingga 13 Oktober ini.
Sementara itu, Rodzi berkata, PKPD dua kampung di Pekan, Pahang iaitu Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian serta satu kampung di Kuala Krai, Kelantan iaitu Kampung Bahagia, Mukim Batu Mengkebang akan ditamatkan esok.h
PKPD lain yang turut ditamatkan di Sabah iaitu Kampung Kirangawan (Darat dan Tengah) dan Kampung Pinatau di Kota Marudu; Kampung Nuntunan Apin-Apin di Keningau; Kampung Lungkidau di Ranau dan Perumahan Pekerja Ladang Boustead Ruku-Ruku di Telupid.