JenayahMalaysia

Penyu Hijau dibunuh dengan kejam

KOTA KINABALU: Sebanyak 11 bangkai penyu hijau ditemukan di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna, hari ini, selepas dibunuh dengan kejam dengan dagingnya dilapah, dimasak sebelum dikumpulkan di dalam guni.

Malah, semua bangkai penyu hijau berkenaan dibiarkan mereput dengan perut terburai dibuang merata tempat.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, semua bangkai berkenaan ditemui kira-kira jam 6 pagi dalam operasi Op Bersepadu Khazanah, bersama Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan.

Katanya, sebaik semua bangkai berkenaan ditemui, pasukan operasi turut menemukan karung berisi isi penyu yang sudah dimasak, bangkai penyu dan peralatan memasak.

“Pemeriksaan di sekitar lokasi tidak menemui suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua penemuan termasuk peralatan memasak kemudiannya dirampas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM8,200 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close