MalaysiaPolitic

Azalina berkecuali jika sentuh skop tugas penasihat PM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said akan mengecualikan dirinya daripada membuat sebarang keputusan jika isu menyentuh tanggungjawabnya sebagai Penasihat Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) timbul ketika beliau mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata beliau dimaklumkan oleh Azalina, yang pelantikannya itu bukan berstatus menteri, justeru tidak ada masalah untuk beliau dipilih mempengerusikan persidangan.

“Beliau bukan menjadi sebahagian daripada pentadbiran atau eksekutif, beliau hanyalah seorang penasihat yang menasihati Perdana Menteri, bukan kerajaan, mengikut pendapat dan kebijaksanaan beliau.

“Justeru, saya tidak nampak apa-apa masalah dalam permintaan untuk beliau mempengerusikan apa-apa persidangan. Selain itu, apabila bercakap mengenai konflik kepentingan, dinamiknya adalah berterusan.

“Maka, sepanjang mempengerusikan persidangan, jika beliau tidak perlu membuat apa-apa keputusan mengenai perkara yang dinasihati beliau (kepada Perdana Menteri), maka saya rasa beliau tidak mempunyai apa-apa konflik kepentingan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Azhar menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang mengenai kedudukan Azalina yang dilantik mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat buat sementara waktu, hari ini.

Persoalan itu dibangkitkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baru) dan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) yang beranggapan pelantikan Azalina mewujudkan ‘kejanggalan’ selain dibimbangi menimbulkan konflik kepentingan.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close