MalaysiaSetempat

150 akaun media sosial jual haiwan liar

Kuala Lumpur: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesan kewujudan 150 akaun media sosial ‘pasar haram’ yang giat menjual haiwan liar hampir pupus.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan jenayah licik itu berjaya dikesan pasukan Unit Jenayah Siber Perhilitan yang berperanan memantau dan menganalisa aduan diterima membabitkan penjualan hidupan liar secara atas talian.

Beliau berkata, media sosial yang paling banyak digunakan bagi tujuan penjualan ini adalah laman Facebook, Instagram, Caoursel, Tik Tok, WhatsApp, Shopee dan Mudah.

Menurutnya, trend menunjukkan peningkatan ketara tahun demi tahun terutamanya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

“Hal ini mungkin disebabkan oleh halangan sekatan pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudahan mendapatkan haiwan dihajati hanya di hujung jari.

“Mengikut rekod aduan dan risikan Perhilitan antara 2020 dan September 2021, sebanyak 200 aduan penjualan haiwan melalui atas talian diterima dan 50 maklumat daripadanya sudah diambil tindakan melalui pemeriksaan dan tangkapan kes. Manakala selebihnya masih dalam pemantauan dan tindakan lanjut pihak jabatan,” katanya kepada Harian Metro.

Kadir mengakui kebanyakan aktiviti penjualan hidupan liar dilindungi secara atas talian, membabitkan penggunaan media sosial.

“Hampir keseluruhannya dilakukan warga tempatan yang mengatur urus niaga haram ini untuk pasaran dalam negeri selain turut dihantar ke luar negara.

“Setakat ini Perhilitan sudah mengenal pasti identiti lebih 100 individu yang terbabit dengan aktiviti jual beli hidupan liar secara atas talian ini.

“Kebanyakan individu ini dikesan menggunakan fake account (identiti palsu) bertujuan mengaburi pihak penguat kuasa,” katanya.

Menurutnya, usaha berterusan bagi mematahkan kegiatan peniaga ‘pasar haram’ hidupan liar ini berhasil apabila sebanyak 300 ekor haiwan dilindungi berjaya dirampas dan diselamatkan.

“Antara spesies hidupan liar yang menjadi tumpuan aktiviti haram ini adalah spesies primate (anak kera dan lotong), pelbagai burung, mamalia kecil seperti musang dan kucing batu, spesies reptilia seperti kura-kura dan ular, jerat dan pelbagai daging hidupan liar dilindungi,” katanya.

Kadir berkata, kegiatan itu turut didalangi oleh segelintir peniaga haiwan peliharaan berlesen yang didapati melanggar undang-undang dan cuba untuk menjual hidupan liar yang tidak dibenarkan.

“Walaupun kebanyakan peniaga premis haiwan belaan atau petshop yang menjual hidupan liar, mempunyai lesen daripada Jabatan Perhilitan namun faktor keuntungan menyebabkan ada segelintir mereka yang melakukan jenayah terancang ini.

“Berdasarkan risikan, mereka mendapatkan bekalan haiwan dilindungi ini daripada orang kampung yang tinggal berhampiran hutan yang menjadi habitat hidupan liar.

“Kaedah penghantaran dilakukan oleh penjenayah hidupan liar ini adalah dengan cara menghantar terus kepada pelanggan tetap dan dipercayai sahaja. Penjenayah juga turut menggunakan khidmat kurier selain pengangkutan bas dan lori untuk menghantar haiwan berkenaan,” katanya.

Source
Harian Metro
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close