MalaysiaSetempat

Waktu tepat beri kebenaran rentas negeri – Khairy Jamaluddin

KHAIRY Jamaluddin beramah mesra dengan pesakit yang mendapatkan rawatan hemodialisis di Pusat Perubatan Mawar, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN: Keputusan untuk memberikan kebenaran kepada aktiviti merentas negeri sekiranya jumlah vaksinasi Covid-19 populasi dewasa mencapai sebanyak 90 peratus adalah tepat pada masanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan, sekiranya kerajaan tidak memberikan kebenaran kepada rakyat untuk merentas negeri sebaliknya hanya menunggu sehingga 90 peratus populasi keseluruhan rakyat di negara ini untuk lengkap menerima vaksin Covid-19, ia akan menyumbangkan kepada pelbagai masalah lain.

“Kita boleh tunggu sehingga 70 peratus, tetapi, saya rasa liputan vaksinasi kita telah pun mencapai liputan yang agak luas, selagi kita amalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan kita pegang kepada konsep TRIIS yang saya sebutkan tadi, saya perlu percaya kepada rakyat Malaysia. 

“Sampai bila kita tidak beri mereka merentas negeri, ini akan menyumbangkan kepada masalah, seperti tekanan mental dan tekanan emosi, ada ramai yang sudah sampai setahun tak jumpa dengan keluarga dan ibu bapa mereka.

“Sebab itu kita letak paras 90 peratus, kita rasa ini adalah paras yang kita rasa selesa untuk kita benarkan sempadan negeri dibuka, saya harap yang akan balik jumpa dengan ibu bapa yang sudah berusia tua, bolehlah melaksanakan tindakan produktif seperti buat ujian kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Wad Kanak-kanak, melancarkan mesin imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan melancarkan Pensijilan ISO 9001: 2015 di Pusat Perubatan Mawar di sini hari ini.

Tambah Khairy, sekiranya keputusan membenarkan rentas negeri diberikan hanya selepas 90 peratus populasi rakyat secara keseluruhan menerima lengkap vaksin, ia akan mengambil masa lebih lama lagi.

“Kita akan tunggu lama sebab 20 peratus daripada populasi kita adalah di bawah 12 tahun, tidak ada vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak buat masa sekarang, masih lagi belum diluluskan oleh mana-mana regulator, takkanlah kita nak tunggu sehingga 90 peratus populasi tahun depan atau mungkin pertengahan tahun hadapan.

“Jadi saya rasa dengan liputan vaksinasi yang lengkap dan luas dalam kalangan dewasa 90 peratus selepas itu dewasa sekurang-kurangnya 65 peratus terima dos pertama, saya rasa ini adalah waktu yang tepat untuk buka sempadan negeri,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Source
Utusan Malaysia
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close