#kitajagakitaMalaysia

Kebenaran rentas negeri, penghargaan buat barisan hadapan

KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan yang membenarkan individu lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok adalah satu penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata tanggungjawab kini terletak kepada rakyat Malaysia untuk sentiasa mematuhi semua tindakan kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang masih berkuat kuasa.

“Jika anda benar-benar menghargai apa yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan sejak setahun setengah yang lepas, anda akan menjadi lebih bertanggungjawab, sedar kendiri. Anda akan memastikan bahawa anda akan menjaga kesihatan diri sendiri.

“Alhamdulillah, hari ini sudah mencapai nilai ambang yang kita janji dan kita umumkan. Saya rasa ini adalah pengumuman yang sangat tepat dengan tarikh hari ini iaitu 10 hari bulan 10 (10 Oktober), yang mana sama dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Doktor Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis ‘Free Medical Camp’ anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sempena Hari Doktor Malaysia 2021 secara maya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan kebenaran merentas negeri berkata, keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah mencapai 90 peratus.

– BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close