Malaysia

Sempadan negara perlu segera dibuka secara selamat – MPN

KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) berharap proses pembukaan sempadan negara yang merupakan satu aspek penting dalam usaha pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan segera dan selamat.

Pengerusi MPN, Tan Sri Mahyuddin Yassin berkata, ini kerana pembukaan sempadan akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain.

Di samping iu juga jelas beliau, ia akan mempermudahkan urusan pelawat perniagaan dan sosial untuk datang ke negara ini.

“MPN dimaklumkan bahawa kerajaan sedang menimbang untuk membuka sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelawat asing dari negara-negara tertentu yang telah lengkap divaksin untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib melalui program mutual recognition of vaccine certificate.

“Langkah ini telah dilaksanakan di beberapa negara lain,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MPN keempat di sini hari ini.

Mesyuarat itu dimulakan dengan mendapatkan taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai perkembangan terkini indikator-indikator Covid-19 khususnya dari segi penurunan kes-kes positif harian, penurunan ketara penggunaan katil-katil wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang telah mencapai 95 peratus pada masa ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengumumkan MPN bersetuju agar satu Pasukan Petugas Khas dibentuk melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan.

Menurut beliau, peranan pasukan petugas itu adalah memperhalusi perkara-perkara berkenaan isu pembiayaan, tenaga kerja dan lain-lain bagi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, ia juga akan membentangkan kajian terperinci dan syor-syor dalam masa sebulan kepada MPN untuk pertimbangan.

“Mesyuarat pada hari ini telah memberikan fokus kepada dua kumpulan yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19 iaitu PKS serta golongan rentan.

“Sehubungan ini, MPN telah membincangkan bentuk bantuan kepada PKS dalam fasa pemulihan terutama berhubung isu kecairan dan kekurangan tenaga kerja serta pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan.

“Mengambil kira pelbagai bantuan dan inisiatif sedia ada berkaitan kewangan dan penyediaan tenaga kerja kepada PKS di bawah pelbagai kementerian dan agensi, MPN berpandangan bahawa satu analisis yang lebih terperinci perlu dibuat untuk memastikan industri-industri yang terkesan berdasarkan statistik-statistik terkini dikenal pasti.

“Ia bagi memastikan penyelesaian jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang lebih berfokus dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Muhyiddin menambah MPN turut bersetuju supaya agihan bantuan makan kepada golongan rentan perlu lebih berpendekatan seluruh dengan peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkasa dengan kerjasama semua agensi yang terlibat.

Ditanya sama ada MPN membincangkan Pilihan Raya Negeri Melaka sekiranya diadakan, Muhyiddin menjelaskan, isu tidak dibangkitkan dan ia terserah kepada kerajaan untuk membuat keputusan. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close