IslamicMalaysia

Masjid sebagai pemangkin ummah sejahtera – Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Pemegang amanah yang menguruskan masjid dan surau di negeri ini wajib memahami falsafah kewujudan serta fungsi utama rumah ibadah itu sebagai institusi menyatupadukan ummah.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir bertitah masjid dan surau adalah institusi yang wajib dimuliakan, diimarahkan dan dilindungi daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya.

Titah baginda, ahli jawatankuasa hendaklah sentiasa melindungi masjid dan surau daripada dicemari oleh aktiviti yang boleh memecahbelahkan ahli kariah seperti aktiviti berpolitik atau melakukan perkara bercanggah dengan syarak.

“Setiap individu yang telah diberikan amanah sebagai jawatankuasa kariah, hendaklah sentiasa bersifat tegas dan bijaksana, tanpa membenarkan diri dimanipulasi atau diperalatkan oleh mana-mana pihak,” titah baginda sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan malam ini.

Tuanku Muhriz turut bertitah bahawa Islam adalah agama yang mendasari segala aspek kehidupan seiring dalam apa jua perubahan keadaan dan peredaran zaman.

“Norma baharu kaedah beribadah ketika menghadapi pandemik, adalah contoh menggambarkan Islam memahami realiti suasana tanpa menafikan kesempurnaan pelaksanaan ibadah seseorang muslim,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah kerajaan negeri perlu terus memainkan peranan mentadbir dengan baik dan menyejahterakan rakyat di negeri ini dengan inisiatif peduli rakyat tanpa dibatasi sempadan kaum, bangsa, agama atau politik.

Baginda bertitah kekayaan dan kemakmuran negeri haruslah dinikmati oleh sekalian rakyat di negeri ini tanpa ada golongan yang tercicir.

“Beta berasa suka cita dengan hasil Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sedang berjalan ketika ini. Usaha sebegini tidak akan terhasil tanpa peranan, komitmen serta dedikasi ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan, serta mereka yang membantu di belakang tabir,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan penghargaan kepada kepemimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, penjawat awam dan syarikat swasta yang berganding bahu memulihkan dan membangunkan semula negeri ini.

Baginda turut memuji usaha murni semua pihak terbabit dalam menangani wabak COVID-19, terutama kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, anggota polis dan tentera, sukarelawan peringkat akar umbi di daerah, bandar dan mukim di negeri ini.

Justeru, baginda bertitah seluruh rakyat di negeri ini lebih bersikap prihatin dan membantu mengurangkan beban petugas barisan hadapan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha memutuskan penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, susulan pelajar di negeri ini sudah kembali ke sekolah secara bersemuka, Tuanku Muhriz bertitah semua pelan persediaan pelaksanaan operasi institusi pendidikan perlulah dipatuhi dengan baik.

“Semua pihak hendaklah juga memainkan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan pendidikan formal dan tidak formal anak-anak di negeri ini dalam usaha membentuk akhlak serta jati diri yang luhur, sentiasa diutamakan,” titah baginda.– BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close