MalaysiaSetempat

Teruskan moratorium PTPTN atau beri diskaun

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran membenarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dalam Bajet 2022.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata moratorium bersasar adalah kaedah terbaik ketika pemulihan ekonomi baru bermula dan masih ramai peminjam PTPTN yang menghadapi masalah kewangan.

Katanya, jika moratorium tidak dapat dilaksanakan, kerajaan perlu memberi diskaun kepada peminjam yang memenuhi kelayakan tertentu.

“Bagi saya, yang paling baik ialah jika kerajaan benarkan PTPTN teruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan oleh COVID-19.

“Tetapi jika moratorium sukar dilaksanakan, kerajaan patut berikan diskaun paling kurang 20 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi, Wan Saiful dan ketua-ketua penerangan daripada parti kerajaan mengadakan dialog Bajet 2022 bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selaku Ketua Sekretariat Ketua-Ketua Penerangan, Wan Saiful memberikan tiga cadangan dengan satu daripadanya berkaitan PTPTN.

Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN, berkata beliau turut mencadangkan pemberian diskaun kepada peminjam yang membuat bayaran secara arahan debit tetap pada setiap bulan.

Katanya, cadangan diskaun itu adalah kehendak peminjam apabila topik itu sering ditimbulkan dalam sesi libat urus bersama PTPTN.

“Saya juga minta kita beri diskaun kepada mereka yang membayar menggunakan potongan direct debit bulanan sebagai imbuhan kepada mereka yang membayar mengikut jadual.

“Diskaun ini satu perkara yang popular dan sering disebut dalam sesi libat urus yang kami jalankan,” katanya.

Wan Saiful berkata, sebagai Pengerusi PTPTN, beliau sudah menyerahkan surat rasmi mengenai cadangan itu kepada Tengku Zafrul dalam sesi dialog itu.

“Saya harap kerajaan akan pertimbangkan untuk Bajet 2022,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close