Covid-19Malaysia

‘Bukti keberkesanan Ivermectin amat terhad’

KUALA LUMPUR: Hasil kajian ujian Keberkesanan Rawatan Ivermectin ke atas Pesakit COVID-19 Berisiko Tinggi (Kajian I-TECH) dijangka dibentangkan kepada pihak berkepentingan Kementerian Kesihatan (KKM) akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata Kajian I-TECH telah lengkap pada proses merekrut pesakit seramai 500 orang dan kini dalam tempoh akhir analisis kajian.

“Setakat ini, bukti untuk menyokong penggunaan Ivermectin bagi merawat atau mencegah jangkitan COVID-19 adalah sangat terhad.

“Pada 28 Julai lalu, Cochrane Library mengeluarkan kenyataan tidak menyokong penggunaan ubat Ivermectin bagi mencegah atau merawat COVID-19 berlandaskan analisis sistematik terhadap 14 kajian klinikal melibatkan 1,678 peserta.

“Cochrane Library (satu koleksi pangkalan data) merumuskan keperluan untuk data kajian yang lebih berkualiti diterbitkan untuk dianalisis,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang ingin mengetahui status Kajian I-TECH dijalankan KKM dan bukti saintifik di peringkat antarabangsa serta langkah diambil bagi mengatasi masalah penggunaan Ivermectin ketika ini.https://6c0cd3732aba6b4ea98323bbf1a06606.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Dr Noor Azmi berkata, ada kajian klinikal berskala besar baru-baru ini membabitkan pesakit COVID-19 tidak dirawat di hospital dan mempunyai gejala ringan seperti percubaan Ivermectin to Prevent Hospitalisations in Patients With COVID-19 (IVERCORCOVID19) di Argentina.

Katanya, percubaan bersama di Brazil mendapati Ivermectin tidak berkesan dalam mencegah kemasukan ke hospital.

Berhubung langkah diambil bagi mengatasi masalah penggunaan Ivermectin, Dr Noor Azmi berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM sentiasa memantau dan memastikan produk kesihatan serta ubat yang dipasarkan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada masyarakat.

Katanya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima 175 aduan mengenai Ivermectin sepanjang tahun lepas hingga September 2021.

“Berdasarkan pengesahan yang dijalankan, sebanyak 17 premis diserbu pada 2020 dengan nilai rampasan berjumlah RM7,193 dan serbuan ke atas 43 premis dan 17 pemeriksaan pada tahun ini dengan nilai rampasan RM124,815,” katanya.

Sepanjang tahun lalu hingga kini, katanya, usaha pendidikan turut dijalankan dengan memuat naik 128 poster dan maklumat menerusi laman Facebook atau media sosial serta 10 poster adalah khusus berkaitan COVID-19. – BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close