MalaysiaSetempat

Kerajaan perluas, perbaharui sistem penyampaian perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperbaharui penyampaian perkhidmatan kerajaan sebagai usaha menambah akses saringan dan pendidikan kesihatan di kawasan tumpuan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan memastikan rakyat terutamanya kumpulan tumpuan mendapat akses yang pantas kepada perkhidmatan kerajaan.

Katanya, pelbagai usaha dipergiat antaranya melalui program klinik bergerak, pemberian vaksin COVID-19 bergerak dan bank bergerak seperti meluaskan perkhidmatan klinik bergerak Hospital Pengajar Universiti.

Beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan menyediakan sebanyak 20 kaunter bergerak JPJ khusus untuk manfaat penduduk pedalaman di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, usaha bank bergerak yang dimulakan di Sarawak tahun ini seperti di Pekan Sungai Asap, Belaga mendapat sambutan memberangsangkan. Penduduk luar bandar datang beramai-ramai untuk menggunakan perkhidmatan bank bergerak yang disediakan oleh BSN

“Justeru, pada tahun hadapan, sebanyak tambahan 20 lagi bank bergerak dijangka mula beroperasi merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Jika dahulu, rakyat perlu pergi ke kaunter dan pejabat kerajaan sekiranya ingin berurusan atau mendapatkan sebarang perkhidmatan tetapi kini, pelbagai usaha dipergiatkan untuk memastikan rakyat terutamanya kumpulan tumpuan mendapat akses yang pantas kepada perkhidmatan kerajaan.

“Bagi meneruskan akses perkhidmatan kerajaan pada luar waktu pejabat, sebanyak 100 kiosk dengan fasiliti lengkap komputer akan disediakan di UTC untuk memudahkan orang awam yang ingin berurusan dengan pihak JPJ seperti proses memperbaharui lesen memandu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif MyDIGITAL dilancarkan pada 19 Februari lalu, bagi memacu transformasi digital dalam perkhidmatan kerajaan.

“Pelaksanaan projek Identiti Digital Nasional akan dimulakan pada tahun depan dan ia adalah satu platform pengesahan pengenalan diri bagi membolehkan kesalinghubungan pelbagai sistem transaksi untuk memudahkan pengguna berurusan secara digital dan selamat.

“Selain itu, MyDIGITAL juga menyasarkan penggunaan 80 peratus cloud storage dalam perkhidmatan kerajaan pada tahun hadapan. Oleh demikian inisiatif Digital First Programme akan diperkenalkan bagi meningkatkan usaha penggunaan pengkomputeran awan.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini akan meminimum penggunaan storan fizikal dan membudaya konsep tanpa kertas,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close