MalaysiaSetempat

Bajet 2022: Kementerian Wilayah komited tingkat kesejahteraan, kebajikan warga

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyambut baik Bajet 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia – Makmur Sejahtera”.

Bajet yang memberikan tumpuan kepada tiga paksi utama itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kehidupan rakyat Malaysia mengharungi pasca Covid-19.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, Keluarga Malaysia pastinya menghargai pelbagai imbuhan dan bantuan yang diberikan kerajaan, bukan sahaja kepada kakitangan awam, tetapi juga masyarakat umum yang memerlukan.

Katanya, meskipun KWP tidak menerima jumlah peruntukan diharapkan dari kerajaan Persekutuan, namun tetap terus komited meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di tiga Wilayah Persekutuan.

“Kita menerima peruntukan RM414,209,900 bagi tujuan pembangunan di Wilayah Persekutuan yang merangkumi projek Public Private Partnership (PPP) dan Private Finance Initiative (PFI).

“Peruntukan itu juga untuk membaik pulih jalan, jambatan, sungai, sewerage non-river (SWR) dan River of Life (ROL), selain pembangunan di Labuan dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahidan, sebanyak RM256,601,400 pula diperuntukkan sebagai peruntukan mengurus termasuk bagi tujuan pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar, perancangan dan pembangunan serta pengurusan, selain bagi program khusus untuk penyelenggaraan bas Putrajaya, diskaun tambang feri Labuan dan naik taraf Dataran Pahlawan Negara.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bersedia memperuntukkan sebanyak RM65 juta untuk membina sebuah sekolah menengah agama di Labuan.

“Pastinya pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di Wilayah Persekutuan akan membantu industri tersebut kembali bangkit selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Manakala pengecualian cukai pelancongan yang dilanjutkan kepada 31 Disember ini turut dapat membantu memulihkan industri pelancongan di ketiga-tiga wilayah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau memuji program Community Feeding kepada kanak-kanak dari keluarga miskin bandar di beberapa negeri termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, program itu akan menyediakan makanan tambahan lima kali seminggu kepada 100 kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

“Program ini akan memastikan kanak-kanak miskin bandar tidak akan kelaparan dan dapat meringankan beban keluarga yang terkesan.

“Kami di KWP akan memastikan peruntukan yang disediakan itu bakal memberi manfaat kepada rakyat di Wilayah Persekutuan.

“KWP dan agensi kami akan menggalas amanah yang telah diberikan dengan mendukung iltizam Keluarga Malaysia, Inklusif dan Mampan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close