MalaysiaPolitic

PRN Melaka: AMANAH yakin mampu menang semua sembilan kerusi ditandingi

IPOH: Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin mampu memenangi semua sembilan kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Asmuni Awi berkata, semua kerusi sudah dikenal pasti dan pihaknya melihat peluang cerah di PRN Melaka.

“Peluang baik, cerah, bagus. Bagi AMANAH, sudah tentu kita nak menang kesemuanya. Saya berpesan kepada semua petugas di sembilan DUN yang kita akan bertanding, saya nak menang sekurang-kurangnya sembilan kerusi, maksudnya semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Konvensyen AMANAH Negeri Perak 2021 yang dirasmikan Naib Presiden parti, Dr Siti Mariah Mahmud di sini hari ini.

Asmuni berkata, pihaknya membuat kajian lapangan dan secara rambang untuk mengenalpasti sokongan pengundi dan setakat ini melihat peluang AMANAH adalah cerah.

“Setakat ini (peluang cerah), tetapi kita sentiasa menghormati pihak lawan, jangan pandang rendah kekuatan pihak lawan sebab mereka ini ahli politik lama. Kita tak boleh terlalu yakin dan pandang rendah sebab kadang-kadang, kelemahan (lawan) itu dapat diatasi melalui pengalaman yang ada,” katanya.

Asmuni yang juga Pengarah Jentera Operasi PRN Melaka, berkata pihaknya juga sudah mula bergerak mendekati pengundi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kita sudah mula bergerak mendekati pengundi dengan cara tersendiri, dengan cara yang dibenarkan undang-undang ataupun dengan kata lain kita mengelak daripada pelanggaran kepada arahan (SOP),” katanya.

Mengenai calon parti itu bagi PRN Melaka, beliau berkata, senarai pendek sudah ada, tetapi belum boleh diumumkan buat masa ini.

“Kita pun belum buat keputusan, senarai pendek sudah ada. Sehari dua ini, insya-Allah kita akan umumkan calon,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), AMANAH menang dua daripada enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, iaitu Durian Tunggal dan Bukit Katil. DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Semalam, Pakatan Harapan (PH) dilapor sudah memuktamadkan agihan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRN Melaka dengan jumlah akan ditandingi DAP kekal lapan kerusi; AMANAH sembilan kerusi dan PKR sejumlah 11 kerusi.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close