MalaysiaSetempat

Warga emas mangsa maut digilis

KUALA LANGAT: Seorang warga emas maut dalam satu kemalangan langgar lari ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kilometer 35.5 Jalan Klang- Banting- Port Dickson, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, lelaki yang berusia 70 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y10SS2 dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan terbabit dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Banting menghala ke rumahnya di Kelanang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar pembahagi jalan segi tiga selekoh (arah Sungai Lang) lalu jatuh di lorong sebelah kiri Jalan Banting menghala ke Morib.

“Mangsa kemudian digilis di bahagian kepala oleh sebuah lori yang sedang bergerak terus,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ahmad Ridhwan berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Banting untuk tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini selepas mendapat keputusan Ujian PCR COVID-19,” katanya.

Ahmad Ridhwan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian (017-3012621 atau 03-31872222).

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close