Malaysia

73% pencarum KWSP tidak cukup dana untuk bersara

KUALA LUMPUR – Pengeluaran caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) menerusi i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra, telah mengakibatkan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahli, atau lebih daripada separuh jumlah keseluruhan ahli KWSP.

Walaupun pengeluaran tersebut memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah simpanan yang telah dikeluarkan kini telah menyebabkan seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana daripada jumlah tersebut, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000, seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan.

Kejatuhan dalam jumlah simpanan ini ternyata lebih merisaukan untuk ahli Bumiputera, memandangkan seramai 78%, atau lebih tiga perempat telah memohon untuk fasiliti pengeluaran tersebut.

Akibatnya, seramai 4.4 juta, atau 54%, ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta, atau 25%, mempunyai kurang daripada RM1,000, kata KWSP dalam kenyataan medianya.

Katanya, ternyata kemudahan pengeluaran tersebut bersifat luar biasa dan diperkenalkan berikutan pandemik yang telah memberikan impak besar terhadap ekonomi negara.

Tambahan lagi, pengagihan simpanan telah menjadi semakin tidak saksama yang mana Kumpulan 40% terbawah ahli KWSP (lebih kurang 5.0 juta ahli) menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38% kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan median sebanyak RM1,005.

Kumpulan 40% pertengahan juga mengalami kejatuhan sebanyak 18% kepada RM155 bilion, atau baki median sebanyak RM24,995.

Hanya kumpulan 20% teratas yang berumur di bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai median berjumlah RM152,043, atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk 20 tahun.

Ketiga-tiga pengeluaran luar biasa ini telah menyebabkan 73%, atau hampir tiga per empat, ahli berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik, yang juga telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36% pada tahun 2020 kepada anggaran 27% pada hujung tahun ini.

Berikutan keperluan untuk melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka, sebarang pengeluaran luar biasa tambahan pada masa hadapan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

KWSP berharap langkah-langkah yang dilaksanakan untuk menyokong pemulihan ekonomi dan merangsang pekerjaan akan membantu ke arah memenuhi keperluan rakyat.

Pelan Pemulihan Nasional yang disokong oleh kejayaan besar program vaksin menyaksikan usaha memperbaiki situasi pandemik dilakukan secara beransur-ansur tetapi konsisten, seterusnya membuka jalan kepada pemulihan ekonomi.

Kes harian Covid-19 dan kemasukan ke hospital telah menurun secara konsisten, membolehkan sektor ekonomi dapat dipulihkan semula sementara rakyat Malaysia keluar semula bekerja, sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.

Selain itu, Belanjawan 2022 yang dibentangkan baru-baru ini menyaksikan peruntukan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan RM4.8 bilion untuk Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), serta pelbagai langkah untuk membantu rakyat, seterusnya mencerminkan pendirian kerajaan dalam memperkukuhkan agenda perlindungan sosial untuk rakyat Malaysia.

Usaha ini juga dapat dilihat melalui kesinambungan insentif i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia.

Usaha-usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu ke arah menangani sebarang kepincangan sistem perlindungan sosial negara untuk masyarakat rentan, bagi memastikan mereka diberi akses kepada mencapai taraf hidup minimum biarpun dalam persekitaran yang tidak dijangka.

KWSP kini fokus dalam membantu ahli membina semula simpanan mereka demi masa depan persaraan mereka.

Agenda perlindungan sosial yang diterajui oleh Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), yang dipengerusikan oleh perdana menteri, kini sedang mengkaji pembaharuan asas kepada sistem perlindungan sosial negara dan KWSP menyokong penuh langkah-langkah ini, dan akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan untuk memastikan masa depan yang terjamin dan terpelihara untuk ahli dan rakyat. – MalaysiaGazette

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close